Menteri: 300,000 India tiada dokumen pembohongan besar

Dakwaan pembangkang kononnya terdapat 300,000 kaum India di negara ini tiada dokumen pengenalan diri atau tidak menjadi warganegara Malaysia terbukti tidak berasas dan lebih bermotif politik, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai 'pembohongan besar', Hishamuddin berkata hanya 308 permohonan diterima daripada sekumpulan kecil yang berhimpun di hadapan ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.

"Jumlah permohonan yang disampaikan pada kita (JPN) hanya 308 permohonan, bukan 308,000. Daripada 308 permohonan, 280 permohonan untuk kad pengenalan merah dan bukan untuk kewarganegaraan.

"Ini sekaligus menunjukkan bahawa hujah yang mengatakan ada 300,000 kaum India di luar sana yang tidak ada kewarganegaraan merupakan satu pembohongan besar dan mungkin ada muslihat menjelang pilihan raya ini untuk mencari isu-isu yang boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis Pendaftaran Perkahwinan Beramai-ramai Pasangan Bukan Islam bertemakan 'Raikan Cinta 121212" di JPN hari ini.

Hishammuddin berkata dakwaan itu bertujuan meniup perasaan benci terhadap kerajaan BN menjelang pilihan raya umum ke-13, selain cuba mencetuskan konflik kerana hanya membabitkan satu kaum.

"Sejak (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) memimpin negara kita, saya diminta untuk menyelesaikan semua kes-kes yang tertunggak misalnya jumlah permohonan kewarganegaraan yang tertunggak sebelum ini, kami dah proses lebih 98,000 permohonan" katanya.

Naib presiden PKR N Surendran, anggota parlimen Kapar S Manikavasagam dan anggota parlimen Subang R Sivarasa hari ini mengetuai kumpulan yang berhimpun di hadapan ibu pejabat JPN berhubung isu taraf kerakyatan dan dokumen pengenalan diri.

Kumpulan itu yang tiba sejak pukul 10 pagi berarak dari Istana Kehakiman ke ibu pejabat JPN.

Mengenai krisis melibatkan dua bekas pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Ramli Yusuf, Hishamuddin berkata ia juga bermotif politik.

"Kenapa timbul isu itu ketika ini. Dalam masa beberapa minggu sahaja orang yang tuduh menuduh itu membawa perkara-perkara baharu setiap hari. Ini mungkin dalam suasana politik menjelang pilihan raya. Rakyat pun boleh menilai sendiri," katanya.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.