Rosmah mahu MUBARAK terus berkhidmat

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berharap Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan terus menjadi 'jambatan penghubung' antara bekas wakil rakyat dan keluarga mereka dengan kerajaan demi kesinambungan kemajuan bangsa dan negara.

Beliau berkata anggota MUBARAK walaupun telah berpencen daripada menjadi wakil rakyat masih boleh terus setia berkhidmat untuk pembangunan negara selaras dengan moto pertubuhan itu iaitu terus berkhidmat.

NONESebagai contoh, katanya, program Motivasi Anak Angkat MUBARAK negeri Melaka selama dua hari bermula semalam dilihat membantu para pelajar yang merupakan ahli keluarga Mubarak mencapai kejayaan yang cemerlang pada masa depan.

"Ia dapat membina karier mereka dan seterusnya meneruskan kesinambungan legasi keluarga mereka untuk menyumbangkan tenaga dan usaha kepada pembangunan negara sebagaimana dilakukan oleh ayah ataupun ibu mereka yang bergelar wakil rakyat," katanya pada majlis Pemantapan Mutiara MUBARAK di Melaka, semalam.

Teks ucapan beliau dibaca Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Rosmah berkata melalui program seumpama itu, bukan sahaja pemantauan dan latihan dapat dilakukan malah para pelajar tersebut dapat dibimbing dengan pembentukan akhlak dan moral yang baik, ditanam dengan semangat perpaduan, cintakan negara dan nilai patriotisme yang tinggi.

Katanya, jika pendekatan tersebut dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa pelajar berkenaan ia mampu mendorong mereka kembali berkhidmat untuk pembangunan negara.

"Mereka mungkin bekerja dengan kerajaan negeri menjadi pegawai yang cemerlang ataupun sebagai ahli perniagaan yang berjaya mahupun ahli politik yang akan mengharumkan nama negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap program anak angkat tersebut dapat membantu menjadi pendokong dalam mempergiatkan lagi usaha pencapaian matlamat negara dalam melahirkan modal insan bertaraf "minda kelas pertama".

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.