Demo Baling 1974: Simbol kebangkitan rakyat

Sempena penganjuran Syarahan Demonstrasi Baling anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 10 Disember lalu, saya ingin ungkapkan semula gelombang kebangkitan rakyat yang dipimpin oleh golongan tani dan mahasiswa.

Gerakan mahasiswa yang ditonjolkan oleh generasi 60-an dan 70-an merupakan satu gelombang yang lahir dari hati nurani generasi muda bagi memperjuangkan nasib rakyat dari ditekan oleh pemerintah.

Dalam melihat hal ini, saya suka merujuk kepada sebuah buku lama yang diterbitkan pada 1969 oleh Prof Faeur dari Universiti Toronto dalam bukunya The Conflict of Generation – The Character and Significant of the Student Movement, menyatakan bahawa protes dan bantahan yang ditunjukkan oleh mahasiswa adalah hasil daripada konflik antara generasi.
 
Konflik antara generasi baru dan generasi lama, disebabkan oleh kerosakan bermoral, peradaban yang rosak dan lapuk, penyalahgunaan kuasa, serta tidanakan tidak bertanggungjawab dan penindasan.

Konflik antara generasi yang dicetuskan oleh penindasan adalah faktor utama kebangkitan rakyat untuk nyatakan hak. Peranan mahasiswa dalam kebangkitan rakyat jelas terpancar, ditambahkan lagi puisi yang dinukilkan oleh Usman Awang pada 1967:

Dengan buku di tangan kau nyayikan lagu itu
Meresap pada jantung bangsa
Lagu daerah Teluk Gong

Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Dengan berani berteriak
Untuk petani-petani yang tertindas

Lihat pancar mata ayah mu di desa
Lihat senyum ibu mu di kampung
Kebanggaan bahawa kau anak mereka

Sajak ini yang dinukilkan oleh Usman sebagai tanda hormat dan penghargaan beliau kepada mahasiswa yang pada ketika itu memperjuangkan isu Telok Gong.

Tragedi yang sama juga berulang lagi tujuh tahun selepas itu, yang mana selepas pilihan raya 1974 negara digemparkan dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan ekonomi termasuklah kejatuhan harga getah.

Pada masa itu juga timbul laporan yang mendakwa rakyat Kedah mengalami kebuluran sehingga ada di kalangan masyarakat itu didakwa terpaksa makan sejenis ubi kayu gadum yang mengandungi racun.

Keadaan itu didakwa menyebabkan berlakunya kes kematian, yang dinafikan pihak kerajaan.

Susulan daripada itu, Malaysia menyaksikan kebangkitan besar-besaran mahasiswa pascamerdeka menyatakan pandangan dan bantahan ke atas apa yang telah berlaku. Dalam sejarah gerakan mahasiswa, ini adalah merupakan gerakan terbesar yang pernah dicatatkan, dengan melibatkan hampir 10,000 orang mahasiswa.

Hampir 2,000 orang mahasiswa ditangkap, dan tempoh penahanan ke atas sejumlah siswa bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan antara yang paling lama pernah dikenakan kepada golongan itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) telah ditahan selama dua tahun di bawah ISA dan Dr Syed Husin Ali selaku pensyarah Universiti Malaya yang ditahan di bawah ISA selama enam tahun.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dirangka lebih awal iaitu pada 1971, tetapi peruntukan undang-undang dalam akta tersebut dikatakan tidak cukup ketat bagi mengekang gerakan mahasiswa pada ketika itu.

Demonstrasi Baling adalah merupakan alasan oleh pihak kerajaan untuk meminda akta tersebut pada 1975. Pada ketika ini, segala pertubuhan mahasiswa adalah berdaftar di bawah universiti dengan meletakkan kuasa mutlak kepada naib canselor dan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Mahasiswa dilarang sama sekali untuk terlibat dengan politik dan pertubuhan luar. Ini adalah merupakan satu tragedi hitam dalam sejarah mahasiswa.

Saya juga ingin memetik beberapa catatan yang diterbitkan dalam Makalah Ar-Risalah 1975:

“Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Pelajar-pelajar telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU telah mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid serta melepaskan tembakan-tembakan gas pemedih mata kearahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah melaung-laungkan kalimat 'Allahuakbar' dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan azan. Sementara menunggu ketibaan waktu zohor mereka telah berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah masuk waktu mereka telah menunaikan fardu Zohor secara berjemaah.

"Pihak FRU terus berusaha untuk memberkas pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera. Akhirnya pihak FRU telah menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 orang, pelajar wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfields dan Jalan Bandar. Pada sebelah malamnya mereka telah ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya diberi makan selepas 11.00 malam.

"Ketika berada dalam tahanan pelajar pelajar tersebut dikatakan telah azan pada tiap-tiap kali masuk waktu dan menunaikan sembahyang dengan berjemaah secara bergilir-gilir. Kesemua pelajar-pelajar yang ditahan telah dihadapkan ke mahkamah pada keesokan harinya. Kesemuanya telah tidak mengaku salah. Mereka telah dibebaskan dengan dibenarkan menjamin diri sendiri sebanyak antara $200.00 hingga $300.00 seorang. Mereka akan dibicarakan antara Februari hingga April tahun 1975. Tangkapan tersebut telah tidak dapat menahan pelajar-pelajar dari terus berdemonsttasi meskipun hanya terbatas di kampus-kampus sahaja, kerana dikawal ketat oleh FRU. Demo dalam kampus itu berjalan beberapa hari. Tindakan lanjut yang diambil oleh pemerintah ialah gerakan menangkap pemimpin-pemimpin pelajar, pensyarah-pensyarah dan pemimpin-pemimpin belia.

"Polis telah memasuki kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan (Malaysia) pada pada 2.00 pagi hari Ahad 8hb Disember 1974. Polis telah menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan lain-lain bangunan universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.”

Pengajaran besar yang harus diambil daripada Demonstrasi Baling selain daripada keberanian mahasiswa menjadi jurubicara rakyat adalah iktibar kepada isu yang diperjuangkan mahasiswa ketika itu tidak bersifat mementingkan diri yang berlegar di sekitar isu dalaman dan isu yang remeh temeh. Tuntutan yang dikemukakan adalah bersifat nasional menunjukkan kematangan mahasiswa di dalam berfikir.

Menghayati sejarah bererti bukan disimpan di dalam peti muzium untuk kenang-kenangan, tetapi sejarah adalah coretan pengalaman untuk membina sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang. Mahasiswa seharusnya berasa jelek dengan perkataan "senyap", atau bersikap apologetik dengan berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat kecelakaan berlaku kepada rakyat.

Mahasiswa adalah kelompok terdidik dalam masyarakat punya idealisme dan aktivisme yang tinggi untuk menyatakan hati nurani majoriti yang ditindas dan dizalimi. Kronisme dan pembaziran wang ringgit negara untuk segolongan kecil dalam masyarakat tidak boleh ditolensi lagi.

Dalam aspek ini saya amat bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh Prof Diraja Ungku Aziz, kepimpinan akan lahir daripada mahasiswa yang terpelajar dan mencabar walaupun beliau sendiri terlibat dalam mengekang mahasiswa dalam peristiwa 3 Disember 1974.

Diakhir tulisan saya, saya ingin meninggalkan persoalan apakah yang bakal kita lakukan apabila harga barangan dan bebanan sara hidup yang makin tinggi?


MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI adalah Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.