Menteri: Isu semboyan banyak ganggu khidmat LRT

Sebahagian besar gangguan perkhidmatan tren transit aliran ringan (LRT) tahun ini berpunca daripada masalah sistem semboyan yang masih dalam proses naik taraf, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata pada tahun ini terdapat sembilan gangguan yang diklasifikasikan sebagai 'major' iaitu menyebabkan kelewatan perkhidmatan rel melebihi 30 minit.

"Bagaimanapun, gangguan perkhidmatan ini kebanyakannya berlaku dalam keadaan cuaca yang baik, menunjukkan faktor hujan tidak menjejaskan tahap keboleharapan terhadap sistem LRT," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang ingin tahu langkah kementerian mengatasi masalah gangguan perkhidmatan LRT terutama ketika hujan.

Ahmad berkata antara usaha mengelakkan gangguan perkhidmatan dan menambahbaik prosedur tindak balas semasa menangani gangguan, adalah menaiktaraf perisian dan perkakasan sistem secara berterusan, selain menempatkan alat-alat ganti dan pekerja di lokasi strategik terutama pada waktu puncak.

Selain itu, usaha juga dilakukan dengan menambah dan menggunakan teknologi peralatan diagnostik bagi meningkatkan mutu penyelenggaraan pencegahan,  mengenal pasti tindakan penambahbaikan secara berterusan dan memantau proses pelaksanaannya serta meningkatkan rondaan pekerja pada waktu puncak.    

Beliau berkata kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan tahap keboleharapan sistem pengangkutan rel kepada 99.7 peratus berbanding 99.6 peratus pada masa ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata kira-kira 426,000 penumpang menggunakan perkhidmatan rel setiap hari.

Daripada jumlah itu, sebanyak 190,000 penumpang menggunakan perkhidmatan RapidKL Aliran Kelana Jaya, Aliran Ampang ke Sri Petaling dan Sentul Timur (140,000), KL Monorail (90,000) dan 6,000 lagi menggunakan perkhidmatan ERL.

Tambahnya, jumlah penumpang KTM Komuter pula meningkat daripada 95,000 sehari kepada 126,000 sehari selepas pengenalan diskaun 50 peratus bagi rakyat Malaysia berpendapatan RM3,000 ke bawah.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.