Mujahid: Isu salun KB tak jejas prestasi PAS

PAS yakin bahawa isu saman yang dikenakan ke pihak berkuasa tempatan Kota Bharu ke atas seorang pendandan rambut di sebuah salun di bandar tersebut tidak akan menjejaskan prestasi PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Jawatankuasa PAS pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, isu berkenaan merupakan isu perundangan semata-mata dan dieksploitasi BN untuk memecahkan sokongan masyarakat bukan Islam kepada PAS.

NONE"Tidak (jejas pilihan raya). Sebab asas kepada isu ini ialah perundangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa tindakan kerajaan negeri menangguhkan penguatkuasaan syarat lesen tersebut menunjukkan parti itu tunduk kepada tuntutan DAP.

Jelasnya, keputusan kerajaan negeri untuk menangguhkan penguatkuasaan syarat-syarat pelesenan di bawah undang-undang kecil MPKB-BRI membuktikan pentadbiran parti itu terbuka untuk menerima pandangan.

"Bukan tunduk kepada sesiapa. Ini proses. Bila ada undang-undang yang berkuatkuasa, kita tengok responnya. Bila berlaku isu kedai gunting rambut ini, respon yang kita terima daripada persatuan, dewan himpunan penyokong PAS dan lain-lain, kita berbincang.

"Ini sikap terbuka PAS Kelantan untuk terima pandangan pelbagai pihak tentang pelaksanaan yang dibuat kerajaan negeri. Ini lambang keterbukaan PAS... Bukan siapa menang, siapa kalah," katanya lagi.

NONEBeliau berkata demikian susulan gesaan pengerusi DAP Karpal Singh yang meminta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan secara terbuka pendirian PAS mengenai isu pengasingan gender dan bukannya menyerahkan perkara itu kepada exco Kelantan.

Karpal dalam satu laporan Bernama Rabu lalu berkata, sikap berdiam diri exco Kelantan dalam mengkaji semula peraturan mengenai pengasingan gender itu tidak menunjukkan sikap kerajaan yang bertanggungjawab.

Pada hari yang sama, mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan syarat pelesenan di bawah undang-undang kecil MPKB-BI yang berkuat kuasa serta merta sehingga kajian mengenainya selesai dijalankan.

Exco bertanggungjawab Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata semua kedai gunting rambut wanita kini dibenarkan beroperasi seperti biasa dan tidak terikat dengan syarat di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa kerajaan tempatan tersebut.

NONEKeputusan itu dilaporkan akhbar The Star semalam sebagai satu "kemenangan" kepada pengusaha gunting rambut bukan Islam di Kota Bharu.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pula melaporkan keputusan exco tersebut sebagai tanda PAS "mengalah" setelah lebih 21 tahun melaksana dan mempertahankan peraturan pengasingan jantina di kedai gunting.

Ia turut melaporkan, kerajaan negeri bertindak demikian selepas mengambil kira faktor pilihan raya semakin dekat.

Pandangan berkenaan ditanggap Mujahid sebagai strategi BN bagi memecahkan undi kaum Cina kepada PAS dan menjelaskan isu yang melibatkan undang-undang dan kepentingan politik perlu dibezakan.

"Setiap tindakan itu kita tahu strategi MCA, Umno nak pecahkan undi kaum Cina pada PAS. Saya beri amaran, kita perlu membezakan antara kepentingan politik dan undang-undang.

"Isu ini tidak akan timbul kalau dapat beza apa undang-undang kecil tempatan dan undang-undang Islam. Mana Umno? Adakah mereka rela dengan kenyataan MCA?," soalnya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.