Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh menggesa ahli DAP membuat laporan polis terhadap Deepak Jaikishan yang mendakwa mempunyai maklumat baru mengenai kontroversi melibatkan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau mendakwa Deepak melakukan kesalahan kerana menyembunyikan maklumat berkaitan pembunuhan itu selama ini.

"Sesiapa sahaja yang ada maklumat mengenai arahan melakukan pembunuhan perlu membuat laporan polis.

"Deepak belum buat sebarang laporan polis. Beliau sudah melakukan

kesalahan," kata Karpal.

Tambahnya, laporan itu membolehkan polis membuka siasatan baru

terhadap kes tersebut.

"Apa yang penting di sini bukanlah Deepak, tetapi pendedahan yang dibuatnya membolehkan polis melakukan siasatan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres ke-16 parti itu di Pulau Pinang, pagi ini.

Deepak dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini mendakwa adik perdana menteri membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam bagi menandatangani akuan bersumpah kedua berkaitan kes pembunuhan Altantuya.

Dua anggota polis dijatuhkan hukuman gantung selepas didapati bersalah dan kini sedang merayu hukuman mereka.

Karpal kemudian membuat sendiri laporan polis berkenaan pada waktu rehat makan tengah hari kongres di balai polis Bayan Baru.

Dalam laporannya Karpal memetik wawancara Deepak dengan Malaysiakini bertarikh 27 November 2012 dengan bertaju "Deepak regrets getting involved in Bala's SD".

Karpal menggesa polis menyiasat Deepak mengikut Seksyen 13 Kanun Acara Jenayah yang menetapkan mana-mana individu dengan maklumat tentang jenayah bunuh berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan perlu melaporkannya kepada balai polis terdekat.

"Saya membuat laporan ini agar siasatan menyeluruh polis boleh dilancarkan terhadap perkara dituturkan Deepak yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan," katanya.

Mengikut Seksyen 202 Kanun Keseksaan mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian jenayah tetapi merahsiakannya boleh dipenjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

[Baca berita penuh]

ADS