Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hishammuddin: Tahniah jika Pakatan beri lebih kerusi pada DAP

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tuntutan tambahan kerusi oleh DAP untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-13 nanti jelas menunjukkan pakatan pembangkang tidak mempunyai persefahaman.

Beliau berkata Umno mahu tahu jawapan pemimpin PAS dan PKR terhadap permintaan sekutu mereka itu.

"Kalau mereka dapat cari persefahaman di mana mereka boleh beri lebih banyak kerusi (kepada DAP), saya ucap tahniah kepada mereka," katanya ketika diminta mengulas tuntutan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu dalam ucapan dasar bertajuk 'Perubahan Di tangan Mu' pada kongres DAP ke-16 di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) hari ini.

Hishammuddin ditemui pemberita pada jamuan sempena perkahwinan anaknya Nasha Alyssa dan pasangannya Muhd Anas Zawawi Khalid di Taman Sri Lambak, Sembrong hari ini. Majlis itu dihadiri lebih 15,000 penduduk daripada pelbagai lapisan di  kawasan tersebut.

Lim berkata pertambahan 13 kerusi adalah sebagai pengiktirafan ke atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada PAS dan PKR.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) turut mengingatkan orang ramai bahawa lebih banyak serangan peribadi, politik yang berkisar kepada kebencian, perpecahan, perkauman dan keagamaan dijangka muncul menjelang PRU ke-13 nanti.

Bagaimanapun, katanya KDN akan memantau perkembangan itu nanti agar politik perkauman dan keagamaan tidak menghuru-harakan negara ini.

Mengenai fasa kedua Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS), Hishammuddin berkata Polis Diraja Malaysia akan melatih seramai 4,000 anggota polis pada tahun depan bagi menampung keperluan di seluruh negara.

Jumlah tersebut menurut beliau termasuk 1,000 pegawai polis berpangkat Inspektor.

Pada fasa pertama NBOS, seramai 2,500 anggota polis telah menjalani latihan di kem-kem tentera yang telah dikenal pasti dan sebahagiannya akan menamatkan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson esok.

- Bernama

ADS