Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam menyifatkan tindakan DAP yang meminta tambahan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, bagaikan mahu merebut kuasa.

    

Beliau mendakwa DAP kini dilihat semakin terdesak dan gelojoh untuk merebut kuasa sehingga tergamak meminta penambahan kerusi tanpa mendapat pandangan serta persetujuan rakan parti pembangkang lain terlebih dahulu.

    

"Sebenarnya, apa yang berlaku pada parti pembangkang sekarang ialah mereka mahu melihat siapa yang lebih kuat (mendapat jumlah sokongan yang ramai) sesama mereka, dan seandainya pembangkang menang, maka secara automatik mereka yang mempunyai kerusi yang banyak akan lebih berkuasa, dan ia bakal menimbulkan banyak masalah kelak," katanya.

    

Subramaniam berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang parti itu mahu tambahan 13 kerusi, tiga kawasan Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

    

Terdahulu, Subramaniam ke majlis makan malam anjuran Persatuan Keturunan India Kelantan Malaysia, yang dihadiri 300 orang berketurunan India Kelantan di ibunegara.

Lim, dalam ucapan dasarnya bertajuk 'Perubahan Di tangan Mu' di Kongres Kebangsaan ke-16 DAP di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang semalam berharap atas dasar semangat setiakawan serta tulus, PAS dan PKR membenarkan parti itu bertanding lebih banyak kerusi pada PRU-13.

     

Dalam pilihan raya umum 2008, DAP bertanding bagi 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN.

     

Subramaniam, yang juga menteri sumber manusia, berkata tuntutan penambahan kerusi oleh DAP untuk PRU-13 nanti adalah langkah awal mereka bagi menguasai kerajaan sepenuhnya jika pakatan pembangkang menang.

    

Beliau berkata pakatan itu cuba meniru amalan perkongsian kuasa Barisan Nasional namun nampaknya mereka gagal kerana tiada persefahaman.

    

Selain itu, mereka juga tidak mempunyai perancangan yang mantap untuk membangunkan negara, katanya.

- Bernama

ADS