Rakyat M'sia dipercayai pengganas ditembak mati di Filipina

Seorang rakyat Malaysia, dipercayai pengganas, ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel di Davao pada hari Jumaat.
    
Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/ Anti Pengganas) Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, dikatakan bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya sebelum ditembak.
    
"Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam (waktu Filipina) (8.40 malam waktu Malaysia) tadi, suspek bersama isterinya, Annabel Nieva Lee warga Filipina sedang mendaftar keluar dari hotel penginapannya sebelum didatangi anggota polis," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
    
Mohamad Fuzi berkata isteri suspek turut ditahan pihak berkuasa Filipina untuk diambil keterangan.
    
"Pihak Polis Diraja Malaysia akan bekerjasama dengan polis Filipina untuk mengesan identiti sebenar suspek," katanya.
    
Difahamkan Mohd Noor Fikrie, yang berasal dari Kedah, berada di Filipina sejak beberapa bulan lepas dan menganggotai kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).
    
Suspek dipercayai ke bandar itu bagi meletupkan bom yang diperbuat daripada mortar 60mm.
    
- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.