Karpal kekal pengerusi, Guan Eng setiausaha agung DAP

KONGRES DAP Seperti yang dijangka, barisan baru jawatankuasa kerja pusat (CEC) DAP memutuskan untuk mengekalkan Karpal Singh sebagai pengerusi dan Lim Guan Eng sebagai setiausaha agung selepas pemilihan parti itu semalam.

Mencerminkan hasrat 1,826 perwakilan yang mengundi semula 20 anggota lama CEC - kecuali tiga orang - jawatankuasa baru itu memilih untuk tidak membuat perubahan drastik dalam barisan kepimpinannya ketika parti bersiap sedia bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang mesti diadakan dalam enam bulan yang akan datang.

Lim Guan Eng at DAP AGMIni ekoran seruan pemimpin kanan parti itu, Lim Kit Siang yang
meminta perwakilan mengekalkan kepimpinan Karpal-Guan Eng - di mana kedua-duanya kini akan ditugaskan mengetuai 'kempen 100 hari' untuk menawan Putrajaya bersama-sama dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Sementara itu, dua pemimpin yang tewas semalam -  Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw - telah dilantik menganggotai CEC yang menjadi badan membuat keputusan parti itu.

Untuk menangkis kritikan bahawa parti itu anti-Melayu kerana tiada seorang pun daripada lapan calon Melayu terpilih semalam, Senator Ariffin Omar dan Zairil Khir Johari, yang juga merupakan setiausaha politik Guan Eng, turut dilantik menyertai jawatankuasa kerja tersebut.

Turut dilantik ialah Jimmy Wong dan Edwin Bosi (Sabah), John Brian Anthony (Sarawak), Leong Ngah Ngah (Pahang), V Sivakumar dan Thomas Su (Perak).

Pemimpin veteran Tan Kok Wai telah dipilih menjadi timbalan pengerusi DAP, manakala barisan naib presiden terdiri daripada Chow Kon Yeow, M Kulasegaran, Chong Chieng Jen, Teresa Kok dan Ariffin.

Senarai penuh CEC


Pengerusi - Karpal Singh
 
Timbalan Pengerusi - Tan Kok Wai
 
Naib presiden - Chow Kon Yeow, Ariffin Omar, Chong Chieng Jen, M Kulasegaran, Teresa Kok
 
Setiausaha agung - Lim Guan Eng
 
Timbalan setiausaha agung - Chong Eng, Ngeh Koo Ham, P Ramasamy
 
Bendahari - Fong Kui Lun
 
Setiausaha organisasi - Loke Siew Fook
 
Timbalan setiausaha organisasi - Vincent Wu, Thomas Su
 
Setiausaha publisiti - Tony Pua
 
Timbalan setiausaha publisiti - Teo Nie Ching, Zairil Khir Johari
 
Setiausaha antarabangsa - V Sivakumar
 
Pengarah pendidikan politik - Liew Chin Tong
 
Timbalan pengarah pendidikan politik - Boo Cheng Hau
 
Ahli Jawatankuasa: Lim Kit Siang, Tan Seng Giaw, Teng Chang Khim, Leong Ngah Ngah, Jimmy Wong, John Brian Anthony, Edwin Bosi, Gobind Singh Deo.

[Baca berita Penuh]

Laporan oleh Ahmad Fadli KC, Koh Jun Lin, Lee Long Hui, Low Chia Ming dan Susan Loone.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.