'Tiada Melayu terpilih, konsep Malaysian Malaysia belum dihayati'

KONGRES DAP Perwakilan DAP rata-ratanya masih belum menerima konsep Malaysian Malaysia yang menerima kemajmukan kepimpinan pelbagai kaum dan ia terzahir melalui keputusan pemilihan jawatankuasa kerja pusat (CEC) yang menyaksikan tiada wakil Melayu terpilih, kata seorang calon yang bertanding, Zulkifli Mohd Noor.

dap national congress 161212 malay zulkifli mohd noor 1Menurutnya, ia berbeza dengan BN yang kelihatannya telah menerima konsep itu walaupun ia dijenamakan dengan nama yang berbeza.

"Saya dah hantar mesej kalau DAP serius hendak jadi Malaysian Malaysia yang dah diterima BN, ia mesti dizahirkan di sini (pemilihan CEC)," kata Zulkifli (kiri) yang gagal terpilih dalam pemilihan CE  semalam.

Manakala Ahmad bin Ton yang gagal mengekalkan kerusinya dalam CEC, turut menyuarakan pendapat yang hampir sama.

Beliau menggesa agar semangat Malaysian Malaysia itu diperkukuhkan di dalam DAP pada masa-masa akan datang.

"Sukar bagi DAP pada masa akan datang kalau tak dinilaikan konsep bangsa Malaysia ini.

dap congress 161212 ahmad ton"Cuma saya berpesan pada ahli sedia ada, kita kena kuatkan konsep Malaysian Malaysia," kata Ahmad (kanan).

Beliau bagaimanapun kekal yakin dengan DAP sebagai wadah untuk melihat konsep kemajmukan Malaysian Malaysia diterjemahkan dalam politik tanahair.

"Saya dah menjadi ahli (DAP) selama 36 tahun dan saya percaya dengan DAP  sebab konsep dia nak wujudkan satu konsep rupa bangsa Malaysia," katanya.

Ariffin SM Omar yang dilantik sebagai naib presiden pula berpandangan bahawa perkara yang utama buat DAP adalah menarik keahlian Melayu yang berprinsip teguh ke dalam parti.

"Kita perlukan Melayu yang berpegang pada prinsip, bukan Melayu yang sertai parti hari ini dan keluar esok demi manfaat kewangan.

"Bagi saya mungkin DAP perlukan sedikit masa untuk perolehi keyakinan orang Melayu terhadap DAP," katanya.

Laporan oleh Ahmad Fadli KC, Koh Jun Lin, Lee Long Hui, Low Chia Ming dan Susan Loone.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.