Ramli: 52 pengisytiharan dibuat, semua diluluskan

Bekas Pengarah Siasatan Jenayah Perdagangan Ramli Yusuff berkata beliau membuat 52 pengisytiharan kepada ketua jabatannya sejak beliau menyertai pasukan polis pada 1970, dan kesemuanya telah  diluluskan dan disahkan oleh Ketua Polis Negara (IGP).

Ramli menjelaskan demikian sebagai menjawab gesaan bekas IGP, Tan Sri Musa Hassan awal minggu ini supaya bekas pengarah CCID itu menjelaskan mengenai kekayaannya.

Ramli berkata, beliau juga mengisytiharkan dengan Badan Pencegah Rasuah seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Rasuah pada tahun 2007, apabila agensi anti-rasuah itu memulakan siasatan terhadapnya.

Bagaimanapun, Ramli telah didakwa oleh BPR atas tuduhan tidak mengisytiharkan asetnya. Beliau kemudiannya dibebaskan oleh hakim Mahkamah Sesyen dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi tanpa dipanggil membela diri.

Katanya, bekas IGP telah memintanya supaya menjawab kepada umum mengenai aset dan kekayaan peribadinya.

Ramli berkata, beliau telah berbuat demikian di bawah Seksyen 32 dan telah dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Beliau juga, katanya, telah menjelaskan bagaimana dia memperoleh asetnya kepada BPR dan dia tidak pernah didakwa kerana rasuah.

Menurut Ramli lagi, beliau telah memaklumkan kepada pegawai atasannya 52 kali mengenai pembelian dan penjualan aset termasuk saham, kereta, harta dan tanah sejak beliau mula berkhidmat pada 1970.

Katanya, beliau mengambil masa sebulan setengah untuk menyediakan apa yang dikehendaki oleh BPR mengikut Seksyen 32.

Sebelum mengemukakan deklarasi tersebut, Ramli berkata, beliau juga telah diperiksa oleh bahagian perakaunan forensik CCID, dan kemudian disahkan oleh akauntan awam sebelum menyerahkannya kepada BPR.

Musa, katanya, dituduh rasuah pada tahun 2007 tetapi daia tidak pernah tertakluk untuk mengisytiharkannya di bawah Seksyen 32 oleh BPR.

NONE"Saya mencabar Musa (kanan) dan Badan Pencegah Rasuah
(BPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk memaksa Musa mengisytiharkan hartanya," katanya.

Sehinggalah Musa berbuat demikian, tegas Ramli, beliau rasa Musa tidak akan dibersihkan daripada dakwaan tersebut.

Ramli berkata, dakwaan terhadap Musa adalah lebih serius daripada dakwaan terhadapnya, kerana dakwaan terhadap Musa adalah baru, melibatkan dakwaan jutaan ringgit, sedangkan dakwaan terhadapnya adalah dakwaan bahawa penjenayah Moo Sai Chin membayar wang kepada beberapa pegawai termasuk dirinya pada 1999.

Bagaimanapun, kata Ramli lagi, dalam kesnya mahkamah memutuskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan kesalahan itu tidak dapatkan dibuktikan.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.