'Hanya 5% polis Sabah langgar tatatertib'

Aspek disiplin dalam kalangan warga Polis Kontinjen Sabah masih terkawal dengan isu tatatertib hanya membabitkan lima peratus daripada mereka, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Katanya siasatan tatatertib melibatkan anggotanya turut menurun daripada 240 kertas siasatan tahun lepas kepada 228 tahun ini, membabitkan 192 anggota, 28 pegawai dan lapan penjawat awam.

Setakat ini 68 meliputi anggota, pegawai dan penjawat awam yang berkhidmat dengan polis negeri dikenakan tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan 36 dan 37 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, katanya kepada pemberita, di Kota Kinabalu hari ini.

"Daripada jumlah itu, tiga dibuang kerja manakala selebihnya diambil tindakan sama ada diberi amaran, didenda, dilucutkan hak emolumen gaji atau dikurangkan gaji.

"Antara kesalahan yang dilakukan termasuk mengingkari perintah, cuai ketika bertugas, membelakangkan tugas dan tidak berdisiplin," katanya yang ditemui selepas perhimpunan bulanan polis kontinjen Sabah di IPK Sabah.

Selain itu, terdapat lima termasuk seorang penjawat awam digantung kerja selepas disabitkan kesalahan di mahkamah meliputi jenayah sivil dan syariah, kata Hamza.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.