Thai Airways didenda A$7.5j kerana penetapan harga

Thai Airways didenda sejumlah A$7.5 juta di Mahkamah Persekutuan setelah mengaku bersalah terlibat dalam kegiatan penetapan harga dalam kartel fret udara global.
    
Syarikat penerbangan itu, yang merupakan satu daripada beberapa syarikat yang diburu oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC), menyelesaikan kesnya dan mengaku mengadakan persetujuan dengan syarikat-syarikat penerbangan lain tentang beberapa caj tertentu bagi bahan api, keselamatan dan kastam di antara tahun 2001 dan 2005, demikian menurut Australian Associated Press.
    
Dalam satu keputusan mahkamah Jumaat lepas, Hakim Anna Katzmann mendapati Thai Airways telah terlibat dalam pelanggaran peraturan yang serius.
    
"Ini merupakan perlakuan yang disengajakan dan teratur yang melibatkan kakitangan kanan di stesen Thai di Indonesia," kata hakim itu.

Syarikat itu mengaku mencapai persetujuan mengenai surcaj bahan api dari Oktober 2001 hingga Oktober 2005, surcaj keselamatan dalam tempoh yang sama, dan bayaran kastam dari Mei 2004 hingga Oktober 2005 mengenai fret udara dari Indonesia ke beberapa negara, termasuk Australia.
    
Thai Airways bersetuju membayar denda sebanyak A$7 juta, A$500,000 bagi kos ACCC dan tidak akan terlibat dalam perlakuan yang sama selama lima tahun.
    
ACCC bersetuju membenarkan Thai Airways membayar dendanya secara ansuran, memandangkan syarikat itu sedang menghadapi masalah kewangan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.