Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Ketua Polis Negara (DIGP), Datuk Khalid Abu Bakar membayangkan kemungkinan mayat tahanan polis A Kugan telah terusik semasa disimpan oleh anggota keluarganya, sebelum bedahsiasat kedua dilakukan.

NONE Khalid (kiri), yang merupakan bekas ketua polis Selangor, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, itulah sebabnya

mengapa pihak polis tidak mengulas atau menerima laporan bedahsiasat kedua, yang telah dijalankan oleh seorang doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, mungkin ada sesuatu yang berlaku kepada mayat tersebut apabila dipulangkan kepada keluarga Kugan dan semasa perarakan pengebumian.

Khalid berkata, polis tidak mengikutinya sewaktu perarakan tersebut atau bila mayat itu berada bersama pihak keluarga dan oleh itu, pihak polis tidak tahu.

Itulah sebabnya mengapa polis tidak mengulas atau mengumumkan keputusan bedah siasat kedua itu, katanya ketika memberi keterangan dalam kes saman RM100 juta yang difailkan oleh keluarga Kugan terhadap polis dan kerajaan.

Apabila dinyatakan oleh peguam Sivarasa Rasiah, yang mewakili keluarga Kugan, bahawa sudah terdapat 22 kecederaan yang disenaraikan oleh pakar forensik dalam bedahsiasat pertama, Khalid bersetuju dengan penemuan tersebut.

"Bagaimanapun, kita perlu membandingkan keputusan bedahsiasat pertama dan kedua, Bagi saya, kita bergantung kepada laporan pertama di mana punca kematian dinyatakan sebagai cecair dalam paru-paru," katanya.

Khalid juga bersetuju, apabila Sivarasa selanjutnya mengesahkan Khalid telah memberi keterangan bahawa sesuatu mungkin telah berlaku terhadap mayat Kugan apabila ia disimpan oleh keluarganya, dan bahawa ini adalah kali pertama Khalid menyatakan demikian.

Ini mendorong hakim VT Singham bertanya kepada Khalid bahawa dia (Khalid) mengesyaki sesuatu yang tidak kena, tetapi tidak membuat laporan polis atau menyiasat lanjut.

Bagaimanapun, Khalid tidak menjawabnya.

Khalid juga mendedahkan bahawa Kugan mungkin juga mendapat kesan (kecederaan) ketika bergelut semasa penangkapannya.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenainya oleh anggota bawahannya, tetapi tidak pasti sama ada Kugan telah dibawa ke hospital.

Dalam bedah siasat kedua, PPUM mendapati 45 kecederaan pada mayat Kugan dan menyenaraikan bahawa kegagalan organ-organ penting akibat pukulan sebagai punca kematian Kugan. Baca berita Penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi tiada bukti untuk mendakwa sesiapapun membunuh Kugan, yang dijumpai mati di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Januari 2009.

   

Khalid, 55, berkata sejak peringkat awal, pihaknya hanya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.

   

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam R.Sivarasa, yang mewakili ibu Kugan, N.Indra, yang memfailkan saman kecuaian berhubung kes itu, Khalid bersetuju pada awalnya Pejabat Peguam Negara meminta polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan membunuh.

Namun, berdasarkan keputusan laporan bedah siasat pertama oleh Hospital Serdang, pihak Pejabat Peguam Negara bersetuju siasatan kes dikekalkan mengikut  Seksyen 330.

   

Khalid juga memaklumkan beliau tidak membuat sebarang sidang akhbar berhubung kes itu dan hanya memberi respons kepada beberapa pemberita yang menghubunginya berhubung status siasatan dan keputusan bedah siasat seperti dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya (Allahyarham) ACP Zainal Rashid Abu Bakar.

"Sebaik sahaja hasil keputusan bedahsiasat memaklumkan 'paru-paru berair' sebagai punca  kematian, saya telah arahkan ACP Zainal untuk menyerahkan mayat mendiang Kugan kepada keluarganya," kata Khalid.

   

Beliau berkata arahan juga dikeluarkan supaya 14 anggota dan pegawai Balai Polis Taipan yang terlibat secara langsung dalam soal siasat dipindahkan serta-merta ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sementara siasatan menyeluruh berhubung kes itu dilakukan.

   

Ditanya mengapa tidak memaklumkan keputusan bedahsiasat kedua oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya atas permintaan keluarga Kugan kepada media, Khalid berkata beliau bersandarkan kepada laporan yang disediakan pakar bedah siasat Dr Abd Karim Tajudin, bertarikh 21 Januari 2009.

   

"Tiada peruntukan undang-undang untuk bedahsiasat kali kedua, lagipun mayat Kugan berada bersama keluarganya untuk satu tempoh yang panjang, dan kemungkinan sesuatu boleh dilakukan terhadap mayat berkenaan," katanya.

Menjawab soalan peguam R Ramesh, yang mewakili V Navindran, Khalid tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa defendan kedua itu telah dijadikan 'kambing hitam' untuk menyelesaikan kes tersebut.

   

"Dakwaan itu tidak benar dan dia dituduh setelah kertas siasatan dirujuk kepada pejabat peguam. Lagipun semua pegawai dan anggota yang terlibat dengan soal siasat Kugan telah disiasat di bawah Seksyen 330," katanya.

Menjawab soalan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T.Singham, Khalid berkata OCPD (ACP Zainal Rashid) dan Ketua Polis Balai Taipan adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan Kugan sepanjang tempoh tahanan dari 15 hingga 20 Jan 2009.

   

Kepada soalan Singham mengapa polis tidak mempertimbangkan satu inkues apabila timbul isu dua laporan bedah siasat, Khalid berkata pada masa itu, beliau berpegang kepada keputusan bedahsiasat pertama.

   

Pada 11 Jun lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Navindran selepas mendapati bekas konstabel polis itu bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan, seorang suspek kes curi kereta mewah, di sebuah bilik soal siasat di Balai Polis Taipan pada 16 Januari 2009.

   

Pada 13 Januari lalu, Indra, 44, selaku pentadbir harta pusaka Kugan, memfailkan saman dan menamakan Khalid (ketika itu Ketua Polis Selangor), Navindran, ACP Zainal Rashid, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Indra mendakwa semua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya ketika dalam tahanan polis. Kugan ketika itu berusia 23 tahun.

   

 

ADS