KDN sahkan rakyat M'sia ditembak adalah anggota militan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan bahawa Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, rakyat Malaysia yang ditembak mati oleh polis di Davao, Filipina, pada 14 Disember lalu, merupakan anggota sebuah kumpulan militan.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata lelaki yang berasal dari Melaka itu dikesan memasuki selatan Filipina pada bulan April lepas, dan dipercayai mempelajari cara membuat bom ketika berada di negara berkenaan.

Katanya anggota keluarga Mohd Noor Fikrie telah meminta bantuan kerajaan Malaysia untuk membawa pulang jenazah, dan beliau sudahpun mengarahkan polis supaya menguruskan penghantaran pulang jenazah Mohd Noor Fikrie dengan segera untuk dikebumikan.

"Ahli keluarga Fikrie dan beberapa pegawai kita akan ke Davos untuk menguruskan penghantaran pulang jenazah dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia memandang serius terhadap setiap kegiatan subversif dan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan militan serta penganas kerana ia terbukti mampu menggugat keselamatan dan ketenteraman sesebuah negara.

"Dalam hal ini kita sentiasa bekerjasama erat dengan pihak keselamatan dari negara luar demi memastikan keselamatan negara dan rantau ini, terus terjamin dan terpelihara," tambahnya.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Mohd Noor Fikrie ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel di Davao Jumaat lalu, selepas bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.