ADUN DAP diarah keluar dewan

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Razak Mansor hari ini mengarahkan ADUN Temiang Ng Chin Tsai keluar dewan selepas Adun DAP itu enggan menarik balik kenyataannya.

Speaker yang membuat keputusan itu mengikut Peraturan 6(5) Peraturan Tetap dewan, turut menggantung Ng daripada menyertai sidang dewan selama dua hari termasuk hari ini.

Razak memutuskan demikian berikutan tindakan Ng yang enggan menarik balik perkataan 'jahat dan kotor' yang ditujukan kepada kerajaan BN semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2013 pada sidang DUN di Seremban hari ini.

Walaupun berkali-kali diminta untuk menarik balik kenyataan "jahat dan kotor" itu, yang disifatkan Razak sebagai tidak sesuai digunakan di dalam dewan, Ng tetap berdegil sebelum diiringi oleh Bentara dewan untuk keluar meninggalkan dewan.

Persidangan dewan bersambung esok.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.