Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta ibubapa Sekolah Kebangsaan Bihai, Gua Musang membuat laporan kepada Kementerian Pelajaran berhubung tempoh hari persekolahan di sekolah itu yang didakwa hanya tiga hari seminggu.

"Mereka kena lapor pada kementerian. Saya akan minta Jabatan Pelajaran Negeri untuk siasat betul atau tidak. Sebab perkara seperti ini, kita perlu siasat sejauh mana kebenarannya," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita pada sidang media selepas merasmikan seminar Fiqh Kontemporari di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak hari ini.

Malaysiakini melaporkan ketika menemui Arom Asir - wakil penduduk kampung selepas kematian tok batin di Kampung Tenrik, Pos Bihai Gua Musang, Kelantan, beliau berkata pendidikan merupakan masalah kanak-kanak di kampung itu.

Arom mendakwa kira-kira 200 murid di SK Bihai hanya diajar selama tiga hari dalam tempoh minggu persekolahan - sedangkan minggu persekolahan di Kelantan bermula Ahad hingga Khamis.

"Guru-guru hanya datang pada Ahad dan oleh itu mereka tidak boleh mengajar, jadi mereka mengajar pada Isnin sehingga Rabu. Dan menjelang tengahari hari Khamis, mereka bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Pelajar pula diminta untuk balik ke asrama," kata Arom.

Sebelum itu, terdapat dua kes berlainan yang melibatkan guru di SK Bihai Gua Musang yang telah dilaporkan kepada pihak polis.

Pada 24 Oktober lalu, tiga Orang Asli membuat laporan polis mendakwa anak mereka yang bersekolah di SK Bihai ditampar seorang guru kerana tidak membaca doa makan.

Pada 2 Disember pula, Along Pandak, Hassan Achoi dan Atar Pedik telah membuat laporan polis sekali lagi terhadap guru tersebut serta tiga yang lain, berhubung dakwaan ditawar wang agar menarik balik satu laporan polis yang dibuat sebelum itu.

Dalam laporan itu, mereka mendakwa percubaan merasuah itu berlaku pada 7 November dalam satu mesyuarat PIBG.

Mereka juga mendakwa para guru berkata jika mereka menarik balik laporan itu, mereka (guru-guru) akan membayar RM250 setiap pelajar, manakala guru yang menampar mereka akan menambah RM50.

ADS