Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Penjawat awam digesa fahami, jelas isu pada masyarakat

Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa penjawat awam supaya memahami dan menerangkan kepada masyarakat isu-isu semasa yang sebenar dan pandangan kerajaan terhadap isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum ke-13.

Timbalan perdana menteri berkata ini untuk mengelakkan masyarakat daripada mendapat gambaran yang salah berikutan tohmahan daripada pihak yang sentiasa mahu memburukkan imej kerajaan.

Memberikan contoh, Muhyiddin berkata projek Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) perlu diperjelaskan kerana ia membawa manfaat yang luas kepada rakyat negeri Johor.

"Isu projek PIPC ini yang membawa manfaat yang luas kepada rakyat negeri Johor perlu diperjelaskan khususnya potensi pelaburan sebanyak RM170 bilion ini akan dapat menyediakan lebih daripada 12,500 peluang pekerjaan.

"Ini seterusnya akan membawa limpahan ekonomi kepada sektor lain seperti makanan, pakaian hartanah dan sebagainya," katanya pada sesi Perjumpaan Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Johor di Kompleks Islam Johor di Johor Baharu hari ini.

Penjawat awam juga perlu turut memaklumkan kepada rakyat dan pengundi di negeri ini bahawa kerajaan BN akan terus menyediakan pelbagai kemudahan dan program membantu dan meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, katanya.

Ini menurut beliau, terbukti dengan komitmen dalam Belanjawan 2013, antaranya pemberian bonus penjawat awam; Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0 yang diperluas kepada warga bujang); baucar bantuan persekolahan yang ditambah baik dan pelepasan cukai bagi pendidikan tinggi anak-anak yang dinaikkan kepada RM6,000.

Muhyiddin juga menggesa penjawat awam supaya memberikan perkhidmatan secara lebih cekap dan berintegriti bagi membantu memudahkan urusan perniagaan, pelaburan dan perdagangan negara.

Dalam Model Baharu Ekonomi, katanya, pihak awam adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Menurut Muhyiddin, melalui pelaksanaan konsep Persyarikatan Malaysia, layanan baik perlu diberikan kepada pihak swasta kerana keuntungan mereka akan mendatangkan hasil yang lebih banyak kepada kerajaan yang mana kemudiannya menentukan gaji penjawat awam dan juga pembangunan negara.

Katanya penjawat awam adalah penggerak utama Dasar Transformasi Nasional di mana berjaya atau gagal dasar itu bergantung kepada sejauh mana penjawat awam melaksanakan tugas secara cekap dan berkesan.

Timbalan perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada penjawat awam Johor kerana sumbangan mereka kepada beberapa kejayaan penting yang membantu perkembangan ekonomi negeri ini.

Antara kejayaan itu ialah pelaburan sektor pengilangan yang melebihi RM10.5 bilion bagi 2012 dengan potensi hampir 42,000 peluang pekerjaan dihasilkan; dan peningkatan pelaburan asing sebanyak 28.4 peratus kepada RM3.3 bilion bagi tempoh Januari-September berbanding RM2.6 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Mereka juga turut menyumbang kepada pencapaian sasaran pelaburan RM100 bilion dalam pelbagai sektor di Iskandar Malaysia yang menghasilkan 154,000 peluang pekerjaan serta pembangunan sektor tarikan pelancong seperti Johor Premium Outlet, Legoland Malaysia dan Puteri Harbour Theme Park.

-Bernama

ADS