Isu Lynas: Majlis Fatwa digesa beri pandangan

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Pahang digesa memberi pandangan berhubung isu loji memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik berkata ijtihad baru perlu diberikan, memandangkan suasana dan realiti demografi negara ini dalam keadaan majmuk.

Dr Maszlee Malik (2)"Ijtihad baru perlu dikemukakan berdasarkan suasana dan realiti. Di Malaysia dengan kehidupan yang seimbang, perlu hukum hakam baru.

"Sebagai contoh isu politik kepartian, orang Islam undi DAP dan MCA sejauhmana keharusannya. Dalam kitab hukum hakam klasik itu tidak dibincangkan. Perlu ada ruang ulama dan golongan ilmuan perlu beri pandangan dalam isu alam sekitar, sosial dan hak asasi manusia.

"Jadi saya menyeru Majlis Fatwa Kebangsaan beri kenyataan isu Lynas. Hukum dari segi kemudaratannya kepada manusia dan alam sekitar," kata Dr Maszlee .

Ditemui pemberita selepas sidang media sempena Seminar Fiqh Kontemporari di UIA, Gombak semalam, Dr Maszlee turut menggesa majlis fatwa itu menjadi suara kepada ummah dalam isu-isu tertentu terutama yang melibatkan masyarakat.

"Isu Lynas ini isu  kesihatan kepada orang awam dan juga keuntungan. Kita perlu fikir, adakah ia membawa keuntungan atau mudarat kesihatan. Majlis Fatwa Negeri dan Kebangsaan perlu lihat dan respon. Mereka perlu menjadi suara kepada ummah, kepada rakyat.

NONE"Tapi sebelum mengeluarkan apa-apa pandangan, mereka perlu dapatkan pandangan pelbagai. Perlu mendapat pandangan pakar yang pelbagai," katanya yang juga moderator forum Sinar Harian.

Loji pemprosesan nadir bumi yang terletak di Gebeng, Kuantan itu sebelum ini didakwa pembangkang mengandungi bahan radioaktif yang membahayakan penduduk sekitarnya.

Bagaimanapun, Lynas dalam satu kenyataannya menegaskan pada 11 Disember lalu bahawa Loji Bahan Lanjutan Lynas (LAMP) akan mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh pengawal selia.

Lynas berkata, bagi memastikan pemindahan sisa yang dihasilkan selamat, LAMP akan mengubah sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif pada tahap paling rendah yang terhasil secara semula jadi- kepada produk selamat secara komersial dipanggil 'Synthetic Aggregate'.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.