MB S'gor jamin tiada lagi perobohan altar Hindu

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa tiada lagi perobohan yang akan dibuat oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPS) selepas ini berhubung pembinaan altar Hindu di kawasan tersebut.

Beliau berkata, setelah meneliti laporan MPS mengenai insiden tersebut, pihaknya juga memutuskan pembinaan altar yang dibuat di dalam rumah tidak perlu mendapat keizinan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

NONE"Kita telah meneliti laporan yang dibuat oleh MPS mengenai insiden perobohan struktur di kawasan perumahan berhubung dengan altar di Sepang dan juga telah menerima memorandum dari masyarakat di kawasan tersebut serta menerima beberapa pandangan daripada kumpulan kaum India yang meminta kita mencari jalan yang sesuai untuk menyelesaikan perkara ini.

"Oleh kerana itu, kita bersedia buat kajian dan tiga perkara telah kita buat keputusan hari ini iaitu tidak akan ada perobohan yang akan dibuat oleh MPS. Kedua, tidak ada pembinaan boleh dibuat iaitu pembinaan tambahan di kawasan kediaman melainkan sehingga mendapat kelulusan dari PBT.

"Ketiga pembinaan altar (iaitu) tempat sembahyang untuk individu dan keluarga, kalau dibuat di dalam rumah tidak perlu mendapat kelulusan PBT," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di Shah Alam hari ini.

Pada 20 November lalu, seramai 30 pegawai penguatkuasa MPS memasuki kediaman berpagar seorang penganut Hindu, Umah Devi di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan meruntuhkan altar di kediamannya.

Tindakan tersebut mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang menyelar tindakan Khalid yang didakwanya berdiam diri.

Manakala  ahli parlimen Kapar S Manikavasagam mengakui memberi kata dua dengan mendesak Khalid meletak jawatan sekiranya menteri besar gagal mengambil tindakan berhubung isu berkenaan.

Ditanya pemberita berhubung tindakan terhadap pegawai penguatkuasaan yang merobohkan altar tersebut, Khalid berkata pihaknya akan terus mengkaji dan meninjau isu tersebut.

"Keputusan itu akan kita ambil secara berterusan. Buat masa ini kita mengkaji setiap memorandum dan setiap cadangan yang diberikan oleh semua pihak termasuk daripada kumpulan Hindu Sanggam, masyarakat di sekitar taman perumahan, termasuk juga individu yang berkenaan serta laporan yang dibuat PBT sendiri," kata Khalid lagi.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.