Najib: Demokrasi perlu diurus dengan bijaksana

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demokrasi perlu diuruskan dengan bijaksana dan berkesan bagi membolehkan negara dan rakyat Malaysia mencapai pembangunan mantap.

Beliau mengingatkan rakyat supaya jangan membenarkan sesiapapun memperalat dan memanipulasi demokrasi kerana ini boleh membawa mereka ke jurang kemusnahan.

"Demokrasi hendaklah dipertahan dan digunakan dengan bijaksana sebagai satu cara memilih barisan pemimpin yang benar-benar berkebolehan dan berkualiti.

"Jika tidak, masa depan negara dan rakyat akan diselubungi kegelapan. Inilah yang sering disuarakan (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad," kata Najib dalam ucapannya di 'Malam Gala - Tun Dr Mahathir Legasi Tersohor' di ibunegara malam tadi.

Jamuan malam yang berlangsung sempena Konvensyen Pemikiran Tun Dr Mahathir itu turut menyaksikan pelancaran 'The Mahathir Distinguished Fellowship Programme'.

Teks ucapan Najib dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Najib menegaskan seorang pemimpin yang baik perlu mempunyai visi dan teguh dengan janji melaksanakan misi kepimpinannya.

Menurutnya orang yang hanya tahu menabur janji terutama yang tidak munasabah, tidak boleh dianggap pemimpin sebenar.

"Kepimpinan bukanlah perbuatan menabur janji manis. Kepimpinan ialah tentang bagaimana seseorang itu bijak dan jujur menggunakan kewibawaannya untuk mencapai wawasannya," tegas Najib.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata pembangunan yang dicapai Malaysia pada masa ini bukanlah hasil kerja seorang perdana menteri.

"Kesemua enam perdana menteri Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan negara," katanya sambil menambah kecekapan penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka turut menjadi faktor kejayaan itu.

Dr Mahathir menegaskan sistem pentadbiran yang cekap serta sokongan padu rakyat membolehkan kerajaan melakar kemajuan buat negara dan membawa kemakmuran kepada rakyat.

Beliau turut menekankan pentingnya mengambil iktibar daripada sejarah  supaya negara tidak mengulangi kesilapan yang berlaku sebelum ini.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.