DAP dakwa tanah milik Umno Puchong gagal bayar cukai

DAP akan memohon kerajaan Selangor bertindak termasuk kemungkinan merampas tanah yang didakwa milik Umno Puchong yang gagal membayar cukai selama dua tahun berturut-turut ke atas tanah itu.

ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh mendakwa tanah itu merupakan sebahagian daripada 24 keping tanah yang diperolehi BN dengan harga murah sewaktu pentadbiran mereka di Selangor.

Dakwanya lagi, tanah dengan nombor lot 0073899 dan 0073900 itu mempunyai bayaran cukai tertunggak sebanyak RM26,935.50 dan RM110,869.20

Sementara, cukai taksiran kedua-duanya pula mencecah hampir RM150 ribu, dakwanya.

"Kami akan menulis kepada kerajaan negeri untuk mempertimbang pilihan yang ada termasuklah merampas kembali tanah itu di bawah Kanun Tanah Negara," katanya pada sidang media pagi tadi.

Dakwa Hannah lagi, dua keping tanah itu juga kosong dan tidak didirikan sebarang pusat kemasyarakatan seperti didakwa BN sewaktu ADUN Sekinchan Ng Suee Lim mula mendedahkan pemilikan 24 keping tanah oleh BN itu.

Selain dua keping tanah yang didakwa dimiliki Umno Puchong itu, Hannah turut mendakwa MCA dan Gerakan masing-masing memiliki sekeping tanah dalam daerah Puchong.

Dakwanya lagi, menurut salinan carian rasmi dengan pejabat tanah dan daerah itu, tanah yang nombor lot PT29095 terletak di Pekan Kinrara yang didakwa didaftarkan di atas nama Gerakan.

Sementara tanah yang didakwa milik di MCA itu, menurutnya didakwa didaftarkan atas nama MCA cawangan Batu dan terletak di Pekan Pucung Jaya dengan nombor lot PT235.

Gobind cabar MCA, Gerakan

Turut hadir dalam sidang media itu, ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan Ng Suee Lim.

Sementara itu, Gobind pula mencabar Gerakan dan MCA untuk membuktikan tanah itu dimanfaatkan untuk rakyat seperti didakwa BN di Dewan Undangan Negeri sebelum ini, sebelum DAP membuat lebih banyak pendedahan mengenainya.

"Saya cabar mereka untuk buktikan tanah yang dimiliki mereka itu digunakan untuk masyarakat," tegas Gobind yang juga seorang peguam.

Dakwaan BN memiliki 24 keping tanah murah dengan harga RM1 sekaki persegi itu mula dibangkitkan Ng kira-kira sebulan yang lalu sewaktu sidang DUN Selangor.

Ng pula kesal dengan sikap membisu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor untuk menjawab dakwaan beliau.

"Hari ini saya menzahirkan kekesalan kerana sudah sebulan berlalu dari tarikh 20 November - hari ini genap 20 Disember - pihak saya dan DAP masih menanti jawapan BN di bawah Najib.

"Kita tuntut Najib jawab kerana dia pengerusi (Badan) Perhubungan Umno Selangor dan dia jawab isu tanah satu kaki satu ringgit ini.

"Kalau tidak, Umno BN hilang autoriti moral untuk bercakap soal ketelusan," katanya yang juga timbalan setiausaha DAP Selangor.

Hannah pula menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak ke atas laporan berkaitan dakwaan tersebut sebelum ini yang dibuat sayap pemuda DAP di Putrajaya pada 6 Disember lalu.

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.