Dr M: Orang Islam lemah terlalu bergantung pada orang lain

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sebab utama orang Islam lemah ialah kerana mereka tidak boleh mempertahankan diri sendiri dan terlalu bergantung kepada orang lain.
   
"Mereka juga mengabaikan pengetahuan seperti matematik, sains, seni bina dan teknologi yang diperlukan oleh agama.
   
"Jadi kita ketinggalan jauh di belakang. Kita bergantung kepada pengetahuan, kemahiran dari mereka (orang bukan Islam), malah dalam mempertahanakan ummah.

"Kita tidak boleh bergantung kepada mereka," kata beliau semasa berucap pada majlis anugerah Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di ibunegara malam tadi.
   
Antara penerimanya ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
   
Dr Mahathir menekankan adalah penting untuk mempelajari ilmu pengetahun yang lain bagi setanding dengan orang lain.

"Dengan ini, orang Islam boleh menentang mereka atau tidak dipandang rendah oleh orang lain yang akhirnya mereka akan menghormati kita.
   
"Jika tidak belajar sains sebagai contoh, kita akan ketinggalan. Kita boleh menggunakan benda tetapi tidak boleh mengeluarkannya kerana kita bergantung kepada orang lain. Bagaiman kita boleh mempertahankan ummah jika kita lemah," katanya.
   
Beliau berkata bagi memperoleh pendidikan agama dan sekular, kerajaan menubuhkan UIAM untuk mempertingkatkan pengetahuan dari semasa ke semasa.
   
"Semasa saya menjadi perdana menteri, kita memperkenalkan UIAM kerana kita tahu agama dan pengetahun adalah penting. Al-Quran adalah panduan untuk kita. Kita juga perlu bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa komunikasi," tambahnya.
   
Dr Mahathir berkata orang Islam perlu belajar ilmu pengetahuan dari negara lain sama ada Islam atau negara bukan Islam sebagai cara mendapat lebih banyak maklumat dan membantu menjadi ummah yang lebih baik.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.