'Amanat Haji Hadi tak pernah kafirkan Umno'

Petikan ucapan Datuk Seri Hadi Awang yang dinamakan sebagai 'Amanat Haji Hadi' tidak pernah sama sekali mengkafirkan mana-mana ahli-ahli Umno, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Sebaliknya, Khalid berkata, dakwaan bahawa Hadi mengkafirkan orang Umno menerusi 'amanat' itu adalah "putar-belit media Umno" semata-mata.

"Ia (amanat itu) sebenarnya petikan ucapan Ustaz Hadi yang dinamakan 'amanat' oleh orang yang menyokong PAS dan dijual sebagai poster oleh penyokong atau ahli PAS," kata Khalid.

Beliau kemudian membacakan sedutan penuh amanat tersebut yang dibuat Hadi pada satu ceramah umum di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

"Jadi, di mana yang dikatakan Ustaz Hadi menyatakan Umno kafir.

"Inilah yang dikatakan putar belit media Umno," katanya dalam sidang media di pusat khidmat beliau di Shah Alam semalam.

Tegasnya lagi, ucapan Hadi itu pada hakikatnya menggariskan prinsip-prinsip perjuangan PAS yang menentang Umno kerana mereka mempunyai wawasan berbeza yang tidak sama dengan kehendak hati ahli-ahli PAS.

"Dengan itu, tidak boleh dikatakan kita kata Umno kafir," katanya.

Tambahnya lagi, budaya kafir- mengkafir yang didakwa Umno diamalkan PAS sebenarnya adalah dakyah yang direka-reka oleh Umno sendiri.

"Budaya kafir-mengkafir bukan daripada PAS, tetapi Umno yang kata PAS kata Umno kafir," tegasnya.

Dalam sidang media yang sama, Khalid turut merakamkan ucapan 'tahniah' kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana memberikan 'tauliah' kepada golongan selebriti untuk berceramah di masjid dan surau di seluruh Selangor.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 19 Disember 2012 yang bertajuk 'Tidak halang selebriti berceramah di
masjid'.

Khalid sendiri sebelum ini ditarik tauliahnya untuk mengajar agama di Selangor.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.