Ummi Hafilda pilih pakar terapi sebagai bakal suami

Ummi Hafilda Ali, saksi utama dalam perbicaraan Liwat 1, akan berkahwin dengan pakar terapi kecantikan, Dr Zaman Khan tidak lama lagi.

Menurut Mingguan Malaysia, Zaman Khan, 33, berasal dari Pakistan dan perkahwinan tersebut bakal dihadiri pembesar-pembesar negara.

"Terdapat dua perkara yang membuatkan saya tertarik kepada Zaman, iaitu beliau seorang yang amat amanah dalam menjaga keluarganya dengan penuh kasih sayang. Menjadi anak sulung kepada tujuh adik-beradik, beliau tidak pernah melupakan tanggungjawabnya terhadap ibu dan adik-beradiknya.

"Kedua, beliau sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Beliau amat menjaga solatnya. Sunnah Rasulullah SAW juga meminta umat baginda mencari suami yang mempunyai rupa, pegangan agama kukuh, berilmu dan berharta," kata Hafilda kepada Mingguan Malaysia.

Ummi berkata kehadiran Zaman dalam hidupnya sedikit sebanyak membawa sinar kebahagiaan kepada ibunya, Che Tom Yahaya, yang sudah sekian lama kehilangan kasih sayang daripada seorang anak lelaki.

Walaupun Ummi tidak menyatakan secara khusus, tetapi berkemungkinan dia merujuk kepada abangnya Azmin abangnya, yang merupakan timbalan presiden PKR.

Ummi sebelum ini mendakwa Azmin tidak menziarahi ibu mereka selama beberapa tahun. Biasanya, laporan seperti itu muncul semasa sambutan Aidifiltri.

Ummi diingati kerana menuliskan surat, yang telah ditandatangani oleh empat adik-adiknya, pada 1997 kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh timbalannya, Datu Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai perbuatan salahlaku.

Selepas Anwar dipecat, Ummi Hafilda menjadi saksi pendakwaan semasa perbicaraan Liwat I.  Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Ummi Hafilda juga aktif di ceramah BN.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.