LUAS: Sumber air di Selangor mencukupi

Melalui pemantauan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), sehingga 20 Disember 2012, kapasiti air bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu adalah penuh pada tahap 100 peratus.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata limpahan air juga berlaku bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Langat serta Empangan Semenyih.

"Manakala kapasiti air bagi Empangan Sungai Tinggi pada tarikh yang sama adalah pada tahap 93.33 peratus. Bagi Empangan Sungai Selangor pula, sehingga 20 Disember 2012, kapasiti airnya telah meningkat ke tahap 90.17 peratus iaitu 207.40 juta meter padu pada ketinggian 216.65 meter.

"Peningkatan ini adalah berbanding dengan kapasiti air empangan tersebut pada 11 Oktober 2012 iaitu sebanyak 52.02 peratus dengan jumlah 119.65 juta meter padu pada ketinggian 199.3 meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kata Md Khairi, kenyataan oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat di media mengenai penyusutan bekalan dan ketiadaan sumber baru air mentah di Selangor adalah tidak tepat memandangkan usaha-usaha sedang giat dijalankan.

NONEMenurut Md Khairi lagi, jumlah aliran air sungai mampu untuk membekalkan keperluan air mentah bagi lima loji pembersihan air (LPA) di Rasa, Rantau Panjang dan Bestari Jaya. Bacaan harian baki aliran ini adalah tinggi berbanding dengan jumlah minima keperluan aliran sebanyak 300 JLH.

"Manakala pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor telah dikurangkan sehingga 91.34 JLH pada 20 Disember 2012. Pengurangan pelepasan air ini adalah berbanding 521.3 JLH pada 11 Oktober 2012. Corak dan purata paras air Empangan Sungai Selangor dari bulan Januari sehingga November 2012 ditunjukkan di Graf 1," tambahnya.
 
Menurut Md Khairi, kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi itu dijangkakan terus meningkat ekoran kadar hujan yang banyak ketika Monson Timur Laut dari bulan November sehingga Mac.

"Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013," tambahnya.

Berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000-2050), katanya, jumlah air larian permukaan di Selangor adalah 17,000 JLH, setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi, manakala jumlah air yang diabstrak untuk bekalan air kepada penduduk adalah sebanyak 4501JLH.

"Sekiranya usaha dilakukan untuk menakung atau menyimpan sebanyak 40 peratus daripada jumlah air larian permukaan tersebut, sumber air mentah di Negeri Selangor boleh dimanfaatkan sehingga tahun 2030.
 
"Kerajaan Selangor melalui LUAS telah mengambil langkah untuk meningkatkan lagi kebolehdapatan sumber air di kawasan lembangan sungai selain daripada empangan sedia ada.

"LUAS telah mengenalpasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber air tambahan seperti Kolam Projek Tebatan Banjir Sungai Rasau di Lembangan Klang dan juga Kolam Bestari Jaya di Lembangan Selangor yang akan bertindak secara dwifungsi di mana ianya akan berfungsi sebagai kawalan tebatan banjir dan juga kolam penstoran air ketika berlakunya aliran banjir. Kolam penstoran air ini juga akan digunakan jika berlakunya aliran rendah," katanya.

Menurut Md Khairi lagi, LUAS telah mengenalpasti 20 kolam takungan sama ada kolam takungan banjir atau kolam bekas lombong yang juga berpotensi untuk dijadikan sumber air tambahan di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

"Kolam-kolam berkenaan adalah merupakan rizab simpanan air mentah yang boleh dibangunkan sebagai sumber air tambahan tertakluk kepada kualiti airnya. Jumlah anggaran kapasiti kolam-kolam tersebut ialah 325 juta meter padu.
"Selain itu, beberapa lokasi lain yang mempunyai potensi yang sama sebagai sumber air tambahan dikenalpasti oleh LUAS, seperti kolam bekas lombong MC8 dan MC9 di Lembangan Langat.

"Kajian kemungkinan yang terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan kebolehdapatan sumber air berkenaan. Kriteria yang perlu dilihat untuk kolam-kolam ini digunakan sebagai sumber air tambahan adalah keluasannya yang perlu melebihi 10 hektar, kualiti airnya yang perlu mencapai piawaian air minuman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lokasinya yang berhampiran dengan sungai dan muka sauk/LPA, serta ianya adalah tanah milik kerajaan dan anak syarikat kerajaan," katanya

Dalam masa yang sama juga, tambahnya, LUAS sedang di dalam proses pelaksanaan aplikasi 'River Bank Filteration (RBF)' dan juga pembangunan sumber air bumi (sehingga 15 peratus) yang dijangkakan mampu menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan sumber air di Negeri Selangor.

Sambil menyangkal kenyataan Tee Keat itu, Md Khairi berkata: "Sekiranya segala inisiatif ini mendapat kerjasama daripada  semua pihak, bekalan air mentah di Negeri Selangor adalah mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan air."



NONE

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.