Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR gesa ladang bela nasib pekerja diberhenti
Diterbitkan:  Dec 24, 2012 3:08 PM
Dikemaskini: Dec 25, 2012 11:59 PM

PKR bersimpati dengan 37 pekerja ladang kelapa sawit Bukit Talang, Tanjung Karang yang diberhentikan kerja selepas kilang mereka ditutup.

Pengerusi biro kepenggunaan PKR, Yahya Sahri menggesa agar syarikat induk ladang itu, Sime Darby Berhad (SDB) menempatkan pekerja berkenaan di ladang-ladangnya yang lain bagi menjamin kelangsungan pendapatan mereka.

"SDB wajar mengambil tenaga kerja ini untuk berkhidmat dalam sektor perladangan atau sektor yang lain bagi menjamin mereka ini mempunyai pendapatan," katanya pada sidang media pagi tadi.

Menurutnya, SDB menerusi Sime Darby Plantations mempunyai ribuan ekar ladang dan mereka wajar terus menggaji pekerja berkenaan walaupun telah berjanji akan memberi wang ganjaran dan pampasan.

"Semua pekerja ini tiada kediaman atau tapak kediaman, ke mana mereka hendak pergi selepas ini?

"Mereka bukan sengaja tidak membeli rumah tetapi gaji dan pendapatan yang diperolehi begitu kecil untuk memungkinkan mereka menyimpan wang untuk membeli kediaman mereka sendiri," katanya sambil menambah mereka menerima kira-kira RM350 sahaja sebulan.

Yahya turut menggesa agar SDB menyediakan skim pembelaan untuk pekerja yang diberhentikan dan telah mencecah usia persaraan.

"Bagi pekerja yang telah mencecah usia bersara satu skim pembelaan sewajarnya mesti disediakan," katanya.

Ketika ini, tegas Yahya, mereka sudah tidak berupaya kerana faktor usia tetapi pihak ladang perlu mengambil kira ketika mudanya mereka berkhidmat dengan tekun.

ADS