NGO serah batu nisan pada exco agama P Pinang

Lima puluh anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan batu nisan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Abdul Malik Abul Kassim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Datuk Patahiyah Ismail dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Mohd Salleh Man.
    
Batu nisan itu yang diserahkan Ketua Wira Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Pulau Pinang Mohd Rizuad Mohd Azudin, diterima seorang pegawai di pejabat ketiga-tiga pemimpin berkenaan di Tingkat 9 Menara Umno, Jalan Macalister dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
    
Mohd Rizuad berkata penyerahan batu nisan kepada ketiga-tiga pemimpin itu sebagai simbolik untuk memberi peringatan kepada mereka supaya menyelesaikan segera masalah Tanah Perkuburan Islam Kampung Boundry, Ayer Itam di George Town yang
terjejas dipercayai diceroboh syarikat pemaju swasta.
    
"Tujuan kami datang ke sini sebab pejabat agama sampai hari ini tidak pernah datang menelefon mangsa. Ini adalah satu isu paling sensitif yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan hari ini terjadi benda ini di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita semalam.
    
Antara NGO yang terlibat dalam penyerahan batu nisan itu ialah PERKASA, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta), Jaringan Muslim Pulau Pinang (JMPP) dan Pertubuhan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida).
    
Baru-baru ini, lebih 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Boundry, Ayer Itam terjejas dipercayai diceroboh syarikat pemaju swasta yang menjalankan projek perumahan di kawasan bersebelahan.
    
Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati waris apabila kubur anggota keluarga mereka turut terjejas disebabkan pembangunan di situ.
    
Rizuad juga menggesa ketiga-tiga pemimpin itu untuk tampil dan turun padang melihat keadaan tanah perkuburan itu serta menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.
    
Sementara itu, seorang waris yang turut sama menyerahkan batu nisan itu, Noor Sham Mohd Amin, 54, melahirkan rasa kecewa dan marah apabila ketiga-tiga pemimpin itu tidak mahu bekerjasama menyelesaikan masalah itu.
    
"Kami minta pejabat agama jangan tidur saja. Serupa juga MPPP kalau nak buat bangunan, fikir-fikir la. Kalau ada kubur janganlah sampai nak buat rumah sampai celah-celah kubur tu, tempat lain banyak lagi," katanya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.