Agong, PM beri penghormatan terakhir kepada mendiang Dr Lim

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden Gerakan, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik.

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Seri Paduka meluangkan masa kira-kira 10 minit di kediaman mendiang di Petaling Jaya dengan diiringi anak mendiang yang juga Ketua Pemuda Gerakan Datuk Lim Si Pin.
    
Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin eri Rosmah Mansor hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
    
Turut berbuat demikian isteri timbalan perdana menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Dr Lim yang merupakan menteri Kabinet selama 22 tahun, meninggal dunia abtu lepas pada usia 73 tahun.
    
Beliau yang menjadi Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi dari 2004 hingga 2008 meninggalkan isteri Toh Puan Wong Yoon Chuan dan tiga anak.
    
Mayatnya akan dibakar di Krematorium Cheras esok selepas diberi
penghormatan negara.

Sementara itu, perdana menteri berkata adalah sukar untuk mencari seorang lagi tokoh seperti Dr Lim dalam landskap politik tempatan.
    
"Beliau memiliki gaya yang tidak dapat ditiru dan adalah sukar untuk mencari Lim Keng Yaik yang lain dalam politik Malaysia. Jadi, beliau pasti akan dirindui dan kita akan mengingatinya untuk masa yang lama," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir ke atas mendiang Dr Lim hari ini.
    
Najib berkata Dr Lim merupakan seorang tokoh politik negara yang sangat dihormati dan disegani selain dikenali sebagai seorang yang mempunyai semangat dan gaya yang tersendiri dalam politik.

Katanya, mendiang mempunyai stail yang sangat menarik dan tidak takut untuk memberi pandangan dalam apa jua isu.
    
"Sepanjang menjadi anggota kabinet, beliau berjaya memperjuang kepentingan ekonomi negara termasuk melalui usaha menstabilkan harga komoditi negara.
    
"Dalam bidang politik, sebagai presiden Gerakan malah sebelum itu, beliau   memberi banyak sumbangan dalam konteks memperjuangkan kepentingan Barisan Nasional dan amat mempercayai pentingnya negara kita yang berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam keadaan aman dan damai," jelas Najib.
    
Beliau berkata di peringkat antarabangsa, Dr Lim berjaya mewujudkan hubungan dengan beberapa negara dalam memperjuang kepentingan negara.
    
"Secara peribadi, saya amat terasa kehilangan Tun Dr Lim kerana beliau adalah seorang ahli politik yang melangkaui dua zaman iaitu zaman Allahyarham ayahanda saya dan zaman saya sebagai rakan dalam Kabinet sebelum  ini.
    
"...kehilangan mendiang akan amat dirasai oleh negara dan juga saya dan isteri, secara peribadi," tambah beliau.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.