Rumah pegawai khas Ahmad Maslan disimbah cat merah

dikemaskini Rumah pegawai khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan disimbah cat merah pada pagi Selasa lalu.

NONEPegawai tersebut, Ab Halim Tuah Rahmat perkara itu disedari jirannya kerana beliau bersama keluarga berada di Melaka ketika kejadian itu.

Menurut Ab Halim, cat tersebut disimbah di bahagian pintu depan rumahnya serta di bahagian tepi rumah, yang NONEturut terkena rumah jirannya kerana ia merupakan rumah jenis 'town house'

"Pada hari Jumaat sehingga Selasa saya ke Melaka bersama keluarga kerana ada kursus.

"Saya mendapat mesej daripada jiran saya pada jam 8 pagi hari Selasa yang beritahu rumah saya disimbah cat.

"Tetapi saya baru buka mesej itu pada jam 4 petang. Bila saya balik, memang rumah disimbah cat merah dan saya terus membuat laporan polis," katanya.

Ab Halim berkata demikian pada sidang media yang dibuat diperkarangan rumahnya di Seksyen 5, Wangsa Maju. Beliau baru berpindah ke kawasan perumahan tersebut pada awal November lalu.

Ditanya mengenai kemungkinan punca kejadian tersebut, Ab Halim yang juga merupakan pegawai penerangan Umno berkata sebelum ini, beliau membuat dua laporan polis terhadap penceramah di surau yang terletak di hadapan rumahnya.

Menurutnya, beliau membuat laporan polis terhadap penceramah tersebut kerana mendakwa menyampaikan kuliah maghrib di surau berkenaan pada 15 November dan 20 Disember lalu yang menyentuh beberapa isu berhubung pemimpin negara.

"Saya jarang berada di rumah. Bila berkesempatan saya pergi ke surau. Pada 15 November lalu, masa tengah kuliah selepas maghrib, ada seorang penceramah yang berceramah dan sebut nama pemimpin seperti Najib, Rosmah.

"Masa saya tegur saya sebut jangan sebut nama Najib, Rosmah tapi sebutlah juga pemimpin lain macam  Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Khalid Ibrahim. Cakaplah pasal semua. Jangan cakap mengenai sebelah pihak sahaja," katanya.

Ab Halim berkata, pada Khamis lalu (20 Disember), penceramah itu datang lagi untuk beri kuliah maghrib dan kali ini beliau mendakwa, penceramah itu menyentuh tentang bapa Yang di-Pertuan Agong.

"Saya terus tegur dan berlaku juga tikam lidah antara saya dengan pengerusi surau itu," katanya.

NONEAb Halim mendakwa, setelah bertanya kepada orang ramai, penceramah yang dipanggil "ustaz" itu bukan seorang ustaz tetapi merupakan bekas tentara dan polis.

"Orang ini bukan ustaz tapi bekas polis dan tentera dan diangkat oleh pembangkang menjadi ustaz," katanya lagi.

Sehubungan itu, Ab Halim berkata, beliau tidak akan membersihkan kesan cat tersebut dan memberi masa selama tujuh hari supaya individu yang melakukan perkara tersebut tampil meminta maaf.

Beliau juga berkata, selepas tujuh hari jika tiada individu yang tampil, beliau bersama NGO pro Melayu, PERKASA bersama Persatuan Silat Gayung Malaysia akan membawa perkara itu kepada Yang di-Petuan Agong.

"Kalau tak tampil, saya akan biar cat sehingga menghadap Yang di-Petuan Agong.

"Sebelum itu saya mohon polis dan pihak JAWI segera siasat supaya dapat dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.