Dua sahabat maut, kereta rempuh tiang, pokok, pondok bas

Dua sahabat maut setelah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas lalu merempuh tiang elektrik, pokok dan pondok menunggu bas di Kilometer 52 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Jambu Bongkok, di Marang pagi ini.
    
Dalam kejadian pada 7.50 pagi itu, mangsa Jamiluddin Zaiton, 28, dan Sharul Azim Mohd Azmi, 19, maut di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian kepala dan badan.
    
Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan berkata dua sahabat yang berasal dari Johor itu sedang dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu dan dipercayai baru pulang dari kampung halaman mereka.
    
Katanya kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua batang tiang elektrik, sebuah pondok bas dan pokok di tepi jalan.
    
"Akibat rempuhan itu, kenderaan mangsa terpelanting sejauh 30 meter sebelum terbalik," katanya ketika dihubungi.
    
    
"Kereta mangsa remuk teruk dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.
    
Sementara itu pihak Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
    
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.