Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Surirumah maut dipercayai dipukul suami

Seorang surirumah berumur 17 tahun maut selepas dipercayai dipukul suaminya akibat cemburu, dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Alor Gelegah di Alor Setar awal pagi ini.   

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Kedah, ACP Zakaria Ahmad berkata siasatan awal polis mendapati surirumah itu yang bekerja sambilan sebagai pembantu kedai meninggal dunia selepas cedera akibat dipukul dengan objek tumpul dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu.   

Katanya terdahulu suami isteri itu telah bertengkar sebelum kedua-duanya meninggalkan rumah dengan menaiki motosikal dan pulang kira-kira 20 minit kemudian diikuti seorang lelaki menaiki motosikal berasingan.

"Sebaik tiba di rumah, suami wanita itu dan lelaki tersebut bergaduh. Semasa pergaduhan itu surirumah itu dipercayai terkena pukulan menyebabkan dia cedera," kata Zakaria kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian iaitu di rumah mentua suri rumah itu hari ini.

Katanya mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah-siasat.

Polis telah menahan suami wanita itu yang berumur 26 tahun dan dua lagi lelaki berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, kata Zakaria.

Seorang jiran surirumah itu yang enggan dikenali berkata dia dikejutkan neneknya kira-kira pukul 2 pagi selepas terdengar bunyi bising dari rumah ibu mentua wanita itu.

"Saya bangun dan buka tingkap dan dapat dengar pergaduhan mereka. Saya dengar lelaki itu memaki hamun dan memukul isterinya. Saya juga dengar isterinya merintih sakit," katanya.

Katanya mereka kemudian keluar dengan motosikal dan pulang semula tidak lama kemudian dengan diikuti seorang lelaki menunggang motosikal.

"Sekali lagi mereka bergaduh dan suami wanita itu membawa isterinya masuk ke rumah dan tidak lagi terdengar bunyi bising," katanya.

- Bernama

ADS