Awang Adek nafi lulus tanah kepada pemimpin DAP

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata beliau tiada kaitan dengan dakwaan kelulusan tanah seluas lebih 4,000 hektar di Gua Musang kepada pemimpin DAP Perak.

Beliau berkata surat yang ditandatanganinya ketika menyandang jawatan Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah bertarih 16 Januari 2006 adalah sebagai sokongan untuk menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan bersepadu tanaman getah hutan dan industri hiliran di kawasan itu.
    
"Saya tidak tahu menahu berhubung pemilikan atau pemajakan tanah kepada pemimpin DAP terbabit seperti yang didakwa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bachok hari ini.
    
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata surat itu sekadar memanjangkan permohonan bagi mendapatkan bantuan membangunkan tanah di kawasan terbabit.
    
"Surat itu dikeluarkan berikutan permohonan Pengurus Besar Upayapadu Plantation Sdn Bhd, Bazlin Ab. Hamid untuk mendapatkan bantuan yang berkaitan bagi meningkatkan kegiatan ekonomi di Kelantan.    

"Itulah yang tertera dalam surat berkenaan dan saya tidak tahu menahu berhubung pemilikan atau pemajakan tanah kepada pemimpin DAP terbabit seperti yang didakwa," katanya.
    
Awang Adek yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok berkata perbuatan mengaitkan namanya dalam isu itu adalah satu fitnah dan pembohongan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.