88 keluarga di Puncak Setiawangsa diarah pindah

Seramai 88 keluarga yang menghuni banglo mewah, rumah kedai dan rumah teres di Puncak Setiawangsa di sini diarah  berpindah serta mengosongkan kediaman masing-masing ekoran masih berlaku pergerakan tanah yang aktif selepas kejadian tanah runtuh di kawasan itu malam tadi.
    
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata polis telah  mengarahkan kesemua 30 pemilik rumah banglo, 18 pemilik rumah kedai dan 58 pemilik rumah teres dua tingkat tersebut berpindah ekoran keadaan tidak selamat dan mungkin boleh membahayakan keselamatan mereka.
    
"Kesemua yang terbabit berada di Jalan Bukit Setiawangsa dan Jalan Puncak Setiawangsa 2 diarah berbuat demikian setelah Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mengesahkan pergerakan tanah masih berlaku di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Othman berkata ekoran kejadian tanah runtuh malam tadi sebuah banglo terjejas teruk manakala dua lagi banglo yang dimiliki Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis mengalami rekahan tanah.
    
Beliau berkata pihak polis telah berbincang dengan agensi keselamatan lain bagi mewujudkan satu jalan alternatif lain ke Puncak Setiawangsa kerana jalan utama terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.

Beliau berkata buat masa sekarang hanya 49 penghuni telah berdaftar di bilik gerakan polis sementara yang ditempatkan di kawasan kejadian untuk memaklumkan mengenai pemindahan mereka dari rumah terbabit.
    
"Kita menasihatkan penduduk yang belum berdaftar agar mendaftarkan diri di bilik gerakan kita, agar mudah kita melakukan pemantauan dan kita tunggu kajian Ikram untuk mengetahui tahap keselamatan terkini kawasan runtuh itu," katanya.

Othman berkata polis telah membuka pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Setiawangsa kepada penghuni yang terbabit.

Dalam sidang akhbar yang sama, Jamaludin berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan isterinya, memaklumkan kepadanya bahawa dia telah mendengar bunyi detuman yang kuat setelah sebahagian rumah jirannya telah runtuh.
    
"Isteri saya kata bunyi kuat itu datang dari rumah jiran saya, yang merupakan ahli perniagaan Timur Tengah, yang menyewa di situ sejak beberapa bulan lalu," katanya.
    
Katanya tiada sesiapa yang cedera, cuma separuh bahagian bangunan banglo itu termasuk kolam renang runtuh ke bawah sedalam 50 meter.

Jamaludin berkata disebabkan kejadian itu, beliau bersama keluarganya terpaksa berpindah ke sebuah hotel di ibu kota sementara menungggu keadaan pulih.
    
Katanya beliau membeli lot banglo itu pada 1987 dan mendiaminya tiga bulan lalu selepas tamat perkhidmatannya sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat.
    
"Saya mewakili penduduk Setiawangsa mengucapkan terima kasih kepada polis, bomba, Rela, JPAM dan Ikram kerana memaklumkan insiden itu dengan cepat kepada penduduk dan mengelakkan sebarang malapetaka yang lebih dahsyat," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.