Kawanan gajah musnahkan tanaman penduduk

Sekumpulan gajah liar yang memusnahkan tanaman penduduk di kampung Lata Kasah dan Binjai, dekat Jerantut, dipercayai telah memasuki semula kawasan hutan simpan Som, dekat Taman Negara.

Ketua Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, Nasaruddin Othman berkata empat pakar menangkap gajah dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang telah memberhentikan gerakan memburu gajah liar berkenaan semalam.

"Usaha mengesan dilakukan sejak empat hari lepas selepas kita mendapat aduan penduduk kampung berkenaan gajah liar terbabit memusnahkan tanaman mereka, kita percaya terdapat lima atau enam ekor gajah liar dalam kumpulan gajah itu," katanya kepada Bernama di Temerloh, hari ini.

Nasaruddin berkata pihaknya percaya gajah liar berkenaan telah memasuki semula habitatnya.

"Gajah liar ini biasanya datang sekali sekala ke kawasan berdekatan penduduk, mungkin disebabkan kelaparan ataupun kawasan habitatnya diganggu," katanya.

Seorang penduduk Kampung Lata Kasah, Hasan Idris, 46, berkata kumpulan gajah liar itu telah memusnahkan kira-kira 400 pokok getah muda berusia dua tahun kepunyaannya pada Ahad lepas.

"Beberapa penduduk lain juga mengalami kerugian selepas gajah berkenaan memusnahkan tanaman pisang, tebu dan betik," katanya.

Beliau berkata kumpulan gajah liar itu menceroboh dan memusnahkan tanaman penduduk kampung pada waktu malam.

Seorang lagi penduduk di kampung Binjai, Zulkifli Hanapiah, 43, berkata dia dan beberapa penduduk di kampung itu pernah melihat kelibat gajah liar berkenaan yang memusnahkan tanaman penduduk kampung.

"Kita berharap pihak Perhilitan terus memantau bagi memastikan tidak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.