Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang lelaki yang baru tiba di rumah rakannya di Jalan Lembah Permai, Taman Brown di Georgetown maut selepas ditembak dalam satu kejadian pada  kira-kira 10.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa S. Kalimuthu, 29, yang  tinggal di Jalan Yeap Chor Ee di Georgetown pergi ke rumah rakannya itu untuk bertemu tiga lagi kawannya.

Katanya ketika mereka sedang berbual di hadapan rumah berkenaan, datang dua buah kereta menghampiri mereka sebelum seorang lelaki keluar dari salah sebuah kereta berkenaan dan bertindak menembak mangsa dan melarikan diri.

"Melihat mangsa rebah rakannya bergegas membawanya ke sebuah hospital swasta berhampiran namun mangsa disahkan mati sebaik tiba di hospital.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa mati akibat tembakan yang terkena di bahagian bahu kanannya," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Gan berkata polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat motif kes itu dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan, katanya.

- Bernama

ADS