Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guru pondok bimbang Hadi raih simpati di TV
Diterbitkan:  Dec 31, 2012 12:48 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Seorang guru pondok Abdullah Sa'amah berkata beliau tidak bersetuju dengan kesediaan stesen televisyen untuk memberi peluang kepada presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan amanat yang didakwa dibuat pada 1981.

Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, Abdullah bimbang Abdul Hadi akan menggunakan peluang itu untuk berkempen dan menarik simpati masyarakat kepada PAS.

"Saya tidak sokong RTM atau TV3 bagi peluang kepada Abdul Hadi muncul, jangan kata selama sejam, 30 minit atau 20 minit pun saya tidak setuju sebab dia akan pusing kenyataannya sehingga orang ramai yang kebanyakannya jahil menjadi semakin keliru," katanya.

Beliau mengulas syarat Abdul Hadi yang mahu memberi penjelasan mengenai amanat tersebut melalui siaran langsung di televisyen.

Akhbar itu turut memetik kenyataan seorang bekas ketua cawangan PAS Jusoh Hamat yang mendakwa beberapa orang penyokong parti itu di Pasir Puteh, Kelantan sanggup berbasikal sejauh 10km disebabkan amanat oleh Hadi yang didakwa menghalang anggota PAS daripada bersembahyang mengikut imam Umno.

"Namun saya tidak sebodoh penyokong PAS yang lain kerana amanat Haji Hadi tidak pernah saya patuhi. Solat Jumaat saya tetap bertahan sebagai makmum di belakang imam Umno," katanya.

Sementara itu, laporan New Straits Times pula memetik kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang berkata presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya bertindak tawadduk dengan meminta maaf dan tidak meletakkan syarat untuk menjelaskan amanat pada 1981 yang kini kembali meraih kontroversi.

Menurut laporan , Harussani berkata Abdul Hadi sepatutnya terus meminta maaf dan tidak meletakkan syarat supaya kenyataannya itu dipancarkan melalui siaran langsung televisyen.

Harussani juga mahu Abdul Hadi bertaubat dan menarik balik "amanat" yang didakwa menyebabkan perpecahan di kalangan orang Islam di negara ini.

Sementara itu, Berita Harian memetik kenyataan penasihat jabatan agama Johor Datuk Nooh Gadut yang berkata Abdul Hadi perlu ikhlas memberi penjelasan dan tidak meletakkan syarat.

"Orang yang meletakkan syarat selalunya orang yang ada kepentingan dan berada di pihak yang salah. Hadi bertanggungjawab menyelesaikan masalah ditimbulkan.

"Ini bukan masalah kecil, ini masalah agama, hukum hakam, akidah dan ada hubung kait dengan al-Quran, as-Sunnah, syurga dan neraka," katanya.

ADS