Kes saman TV3: Nizar beri keterangan hari Rabu

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka akan memberi keterangan sebagai saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Rabu, berhubung saman fitnah RM50 juta ke atas TV3 berhubung isu nombor pendaftaran WWW1.

Pengurusan kes tersebut dijalankan di hadapan Hakim Datin Yeoh Wee Siam hari ini.

Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang itu merupakan satu-satunya saksi bagi plaintif, manakan dua saksi lain akan tampil bagi pihak stesen televisyen tersebut.

Pendengaran kes tersebut ditetapkan selama tiga hari bermula hari Rabu.

Nizar memfailkan saman berasingan ke atas stesen TV tersebut dan juga akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang menggunakan kenyataannya di Twitter berhubung isu nombor pendaftaran WWW1.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah dua pihak terbabit menjejaskan imejnya dan boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa beliau seorang pengkhianat kepada Raja-raja Melayu, terutama kepada Sultan Johor.

Beliau juga mendakwa kenyataan fitnah itu boleh ditafsirkan sebagai bermaksud beliau seorang yang anti-raja dan menghasut orang lain untuk membenci Sultan Johor.

Nizar mendakwa TV3 melaporkan tulisannya di Twitter secara fitnah, dan turut mendakwa Utusan memutar belit tulisannya di Twitter pada keesokan harinya.

Nombor pendaftaran WWW1 berjaya dibida Sultan Johor.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.