Polis minta pembalakan dihenti semasa banjir

Pengusaha dan pekerja pembalakan di kawasan hutan terpencil di negeri Pahang dinasihatkan memberhentikan kerja mereka pada musim banjir ini.
    
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azad Ismail berkata pengusaha dan pekerja berkenaan diingatkan supaya meninggalkan rumah kongsi di kawasan pembalakan mereka bagi mengelak terkandas akibat banjir dan serangan gajah liar.
    
Beliau memberi nasihat tersebut berikutan kejadian seorang warga emas, Thong Weng Chun, 80, ditemui mati dalam keadaan berulat di sebuah kongsi balak di Bukit Harimau Ulu Tembeling, dekat Jerantut pada 22 Disember lepas.
    
Azad berkata mayat lelaki itu dijumpai dalam rumah kongsi tersebut yang separuh ranap dipercayai dipijak sekumpulan gajah liar.
    
"Banyak tompokan najis gajah dijumpai sekitar rumah kongsi itu, dan mangsa dipercayai mati lima hari sebelum mayatnya dijumpai," katanya di Jerantut hari ini.
    
Menurut Azad, mangsa menjaga rumah kongsi balak itu seorang diri dan pekerja pembalakan lain bercuti kerana keadaan kawasan itu banjir.
    
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk yang kerap memasuki kawasan hutan supaya memaklumkan kepada polis terlebih dahulu bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada terjadi.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.