Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskin 5pm Ibu pejabat polis daerah Cheras akan meminta inkues dijalan terhadap kes kematian seorang tahanan, K Nagarajan, dalam tahanan polis pada 24 Disember lalu.

"Lepas mendapat laporan (bedahsiasat) dari hospital, kita akan merujuk kepada timbalan pendakwaraya untuk dijalankan inkues," kata ketua polis daerah Cheras, ACP Mohan Singh.

death in custody nagarajan 301212 Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat ke atas Nagarajan (kiri) dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Kita tidak boleh membuat spekulasi mengenai punca kematian. Kita telah merujuk kepada hospital untuk menjalankan bedahsiasat dan menentukan sebab kematian.

"Kita sedang menunggu laporan itu. Secara fizikalnya, tidak ada unsur-unsur jenayah," katanya sambil menambah kes itu disiasat sebagai kematian mengejut.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee hari ini dilapor menggesa kerajaan menubuhkan mahkamah koroner susulan kematian Nagarajan dalam tahanan polis berdasarkan peruntukan seksyen 32 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Katanya, siasatan terhadap kes kematian yang berlaku semasa dalam tahanan, atau di dalam atau di sekitar premis agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang, telah berakhir dengan 'penghakiman terbuka'.

Oleh itu, katanya, Akta Koroner perlu diperkenalkan, yang akan mewujudkan kedudukan koroner yang akan dilantik oleh Perdana Menteri atas atas syor Ketua Hakim Negara.

Nagarajan, 32, dilapor ditahan pada 21 Disember lalu atas dakwaan bersabit dengan dadah dan ditempatkan di lokap ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Sementara anggota keluarga mangsa pula dilapor tidak mempercayai dakwaan pihak berkuasa bahawa Nagarajan mati akibat terjatuh.

 

Ahli parlimen Puchong Gobind Singh menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan rakaman CCTV di lokap ibu pejabat polis Dang Dang Wangi ekoran kematian Nagarajan itu.

 

1. Keluarga tak percaya lelaki maut di lokap kerana 'terjatuh'

2. Kematian Nagarajan: MP mahu bukti CCTV

ADS