Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nizar: TV3 gambarkan bidaan WWW1 guna wang rakyat

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa TV3 memfitnah beliau dengan menggambarkan bahawa beliau menyatakan bidaan untuk nombor pendaftaran WWW1 dibuat oleh Sultan Johor menggunakan wang rakyat.

Nizar (kanan) dalam saman RM50 juta ke atas Sistem Televisyen Malaysia Bhd dan satu lagi pihak berkata beliau tidak pernah merujuk dalam tulisannya di Twitter bahawa beliau menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat.

Katanya, defendan berkenaan tanpa menyemak dengannya memanipulasi mesej Twitternya dan memfitnah, menghukum serta memberi pendapat dan spekulasi tanpa menghubunginya terlebih dahulu.

Tambahnya, fitnah berkenaan merupakan satu perkara serius kerana defendan menggunakan perkataan "menuduh" dan "wang rakyat" untuk memberi konotasi negatif bahawa ia ditujukan kepada sultan.

"Defendan tidak merujuk kepada saya untuk mendapatkan pengesahan sedangkan (tulisan di Twitter) saya mempunyai asas," katanya.

Nizar, 55, berkata tindakan defendan itu berniat jahat dan program Buletin Utama pada 30 Mei lalu memberi gambaran negatif ke atasnya bahawa beliau anti-sultan dan menentang institusi beraja.

[Baca berita penuh]

ADS