Gangguan air: K'jaan S'gor sedia pelan bantuan

Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan pelan bantuan untuk menghadapi gangguan bekalan air yang dijangka berlarutan dan akan menjejaskan lebih 100,000 akaun pengguna.

Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin, kerajaan negeri telah meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bersiap sedia dengan lori-lori tangki air.

"Semalam, kerajaan negeri telah meminta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menghantar lori tangki air ke kawasan terlibat di Bandar Tun Razak, Hulu Langat dan Ampang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga telah meminta Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor untuk memantau  pembekalan air di seluruh negeri dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

"Pelan bantuan juga telah disediakan termasuk menghantar  lori-lori tangki air ke kawasan yang bermasalah.

"Sehingga hari ini, tujuh lori tangki air telah dihantar oleh PBT-PBT di Selangor ke Wilayah Persekutuan khusus ke kawasan yang terjejas teruk," kata Faekah yang mendakwa, ia berlaku akibat kegagalan SYABAS menyelenggara rumah pam air dan membuat pemeriksaan berkala.

Faekah berkata, kerajaan negeri memandang serius isu kekurangan air di beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan termasuk di Bandar Tun Razak sejak dua hari yang lalu.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.