Kekeliruan diskaun 50% tambang feri di Labuan, S'wak

Diskaun 50 peratus tambang feri untuk pengguna yang berulang-alik dari Labuan ke Sabah dan Sarawak mula dilaksana semalam oleh LDA Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Labuan yang bertanggungjawab dalam kutipan tiket feri dan bot laju.
    
Bagaimanapun bagi feri yang dikendali Perbadanan Feri Labuan Sdn Bhd (LFC), harga tambangnya tidak berubah berikutan tiada penjelasan oleh Perbadanan Labuan, sebagai pihak berkuasa tempatan.

Berikutan itu, pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Yussof Mahal mengarahkan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan, Jabatan Laut dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah mengadakan mesyuarat hari ini untuk mencari penyelesaian berhubung perkara itu.
    
"Saya mahu satu mesyuarat diadakan dan membincangkan kekeliruan yang timbul. Kenapa LDA Holdings telah melaksanakan kadar tambang diskaun itu sedangkan Perbadanan Feri Labuan masih dengan kadar lama," katanya selepas melawat Terminal Antarabangsa Labuan semalam.

Diskaun 50 peratus diberi untuk pengguna feri yang berulang-alik setiap hari dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, dan ia termasuk tambang feri untuk kenderaan perdagangan yang membawa barangan keperluan ke Labuan.

Diskaun tambang itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 tahun lepas.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.