Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan pengerusi BN negeri Datuk Seri Noh Omar menggesa kerajaan Selangor agar segera menangani masalah bekalan air jika tidak mahu negeri itu terus mundur.

Menurutnya, masalah itu akan menyebabkan pelabur takut untuk berniaga di Selangor dan ia bakal memberi masalah kepada ekonomi negeri itu.

"Jika kerajaan Selangor tak menangani isu air, pelaburan tak akan datang jika tiada air di Selangor.

"Banyak kilang tak akan dibuka dan ini menyebabkan anak Selangor tiada pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas mengiringi timbalan perdana menteri melawat Sekolah Kebangsaan Alam Megah 2 di Shah Alam pagi tadi.

Masalah ketiadaan bekalan air yang melanda kira-kira 500,000 penduduk sekitar 90 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur berpunca daripada kerosakan dua rumah pam di Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dilapor menjangka bekalan air hanya dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Kata Noh lagi, masalah itu akan bertambah buruk jika kadar takungan air di negeri itu juga semakin merosot.

Kesedaran tersebut, menurutnya, mendorong kerajaan BN menggagaskan pembinaan loji takungan air Langat 2 sejak 16 tahun yang lalu lagi.

Tambahnya lagi, pembinaan Langat 2 yang dicadangkan sebagai cara untuk menangani krisis air Selangor turut disokong kerajaan Jepun.

"BN berpandangan jauh kerana berdasarkan taklimat Majlis Air Negara, Langat 2 dah dirancang sejak 16 tahun yang lalu.

"Kerajaan Jepun, jika mereka lihat projek itu tidak boleh dilakukan, mereka tak akan bersama kita," katanya.

Kerajaan Jepun kini mengusahakan projek terowong pemindahan air Selangor-Pahang secara bersama dengan kerajaan persekutuan.

ADS