GFI datang ke M'sia untuk jelaskan aliran keluar modal

Badan pemantau kewangan - Global Finance Institute (GFI) - telah bersetuju untuk membentangkan kajiannya mengenai pengaliran keluar modal dari Malaysia dalam satu seminar yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata seminar itu dijadual diadakan pada 17 Januari, manakala Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah bahawa beliau akan menulis kepada Bank Negara lewat hari ini untuk menjemput bank pusat itu secara rasmi menghadirinya.

azlanGFI sebelum ini melaporkan kira-kira RM196.8 bilion telah dibawa
keluar dari Malaysia pada tahun 2010, meletakkan negara ini kedua selepas China dalam kedudukan global bagi pengaliran modal haram.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Anwar berkata pihaknya mahu GFI hadir menjelaskan butir-butir dan mekanisme bagaimana mereka mendapat angka tersebut dan kemudiannya pihaknya akan menjemput Bank Negara dan semua pihak yang berkaitan.

Anwar juga pernah sebelum ini berkata beliau mahu menjemput Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar untuk menjelaskan isu tersebut.

Rafizi berkata adalah sukar untuk membawa GFI datang ke Malaysia, dan oleh itu, beliau berharap untuk mendapatkan seberapa ramai yang mungkin bagi menghadiri seminar tersebut, terutama ahli ekonomi.

Katanya, konsep 'dana haram' adalah benar-benar baru dan ia bukan konsep ekonomi tradisional.

"Kebanyakan orang tidak memahaminya. Saya akan bertaruh bahawa kebanyakan orang di Bank Negara pun tidak memahaminya," katanya sambil menambah bahawa seminar itu merupakan peluang yang baik bagi mereka untuk melihatnya dari dekat.

Mengenai perkara yang berasingan, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu tidak menerima sebarang maklumbalas dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai status pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai pakatan politik.

Beliau berkata, Pakatan pada mulanya memohon di bawah jawatankuasa penaja yang diketuai oleh bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim.

Apabila Zaid meninggalkan PKR pada tahun 2010, ROS menghubungi Pakatan sekali untuk memberitahu bahawa mereka perlukan jawatankuasa penaja yang baru.

Gabungan itu memohon semula dengan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai pengerusi baru jawatankuasa penaja pada tahun yang sama, dan sejak itu ia tidak pernah mendengar apa-apa dari ROS walaupun beberapa susulan telah dibuat dalam sebulan.

Saifuddin berkata, adalah tanggungjawab ROS untuk menghubungi pihaknya mengenai apakah keperluan atau prasyarat yang mereka perlu penuhi untuk mendapatkan kelulusan.

"Saya tidak fikir tugas mereka adalah hanya untuk menerima permohonan dan berdiam diri. Ia tidak adil sama sekali," katanya.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.