Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan tidak akan membayar gantirugi kepada penduduk Puncak Setiawangsa dan kawasan sekitarnya setelah kawasan kediaman mereka disahkan tidak selamat, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Katanya, kerajaan juga tidak akan membayar pampasan kepada mana-mana bangunan yang terlibat dengan perobohan ataupun penduduk sekitar yang diarahkan berpindah.

"Perkara berikut harus diselesaikan di antara pemaju dengan pembeli sendiri kerana mereka membeli di kawasan yang berisiko tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di tapak tanah runtuh itu semalam.

Raja Nong Chik berkata tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan dan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

"Soal nilai tanggungan kerajaan tidak timbul, ini adalah satu perkara yang berlaku di luar jangkaan," katanya.

Raja Nong Chik berkata pemilik berhak menghantar sebarang memorandum  tuntutan kerana itu adalah hak mereka.

"Kalau kerajaan kena tanggung apa yang pemaju sepatutnya bertanggungjawab, saya rasa itu tidak adil pada rakyat yang membayar cukai," katanya.

Dalam kejadian pada 10 malam Jumaat lepas, benteng konkrit yang dibina di lereng bukit setinggi 50 hingga 60 meter itu runtuh mengakibatkan beberapa banglo, termasuk milik orang kenamaan, di kawasan Puncak Setiawangsa terjejas.

Lebih 200 penghuni yang terjejas dalam insiden itu diarahkan berpindah ke kawasan selamat.

- Bernama

ADS