GMI seru keluarga, bekas tahanan ISA hadir 12 Jan

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyeru bekas tahanan dan keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari ini.

Sekretariat GMI, Ahmad Shukri Razab berkata, salah satu tuntutan yang diketengahkan dalam perhimpunan itu ialah menuntut kerajaan membebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

NONESemalam, katanya, genap setahun empat bulan dan 19 hari daripada tarikh pengumuman pemansuhan ISA yang dibuat oleh Perdana Menteri pada sambutan Hari Malaysia tahun 2011.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ke hari ini, masih ada tahanan ISA yang dikurung di Kem Tahanan Kamunting.

Di samping itu, katanya dalam satu kenyataan semalam, ia diikuti dengan penggubalan satu undang-undang yang mirip kepada ISA.

Oleh itu, katanya,  GMI menyeru semua bekas mangsa ISA, keluarga mangsa dan rakyat Malaysia untuk turun pada 12 Januari dan menyuarakan tuntutan agar kerajaan segera membebaskan kesemua tahanan ISA.

Perhimpunan besar itu dirancang sebagai acara penamat kepada perhimpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan pembangkang di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.

Selain itu, Syukri berkata, sebelum ini, GMI mengambil inisiatif untuk turun bertemu rakyat dengan mengikuti jelajah Himpunan Kebangkitan Rakyat di Johor, Pulau Pinang dan Perak.

Menurutnya, peluang itu digunakan bagi memberi pendedahan kepada rakyat mengenai cerita sebenar di sebalik pemansuhan ISA yang diumumkan perdana menteri pada tahun 2011.

Katanya, sekiranya merujuk kepada perintah tahanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri, tahanan terakhir hanya akan dibebaskan pada bulan Januari 2014 iaitu dua tahun empat bulan selepas ISA diumumkan termansuh.

"Kami telah mengedarkan risalah mengenai kempen bebaskan tahanan ISA kepada masyarakat umum selain berkesempatan memberi ucapan penerangan di pentas yang disediakan untuk aktivis NGO.

"Melalui desakan yang konsisten daripada rakyat, GMI percaya kerajaan akan terpaksa akur untuk membebaskan kesemua tahanan ISA," katanya lagi.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.