Pukul wartawan, anggota PPS didenda RM3,000

Anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS), Lim Ah Chye, 52, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah terhadap dua tuduhan iaitu memukul dan menyebabkan kerugian terhadap wartawan akhbar Cina.

Majistret Norhayati Ibrahim memerintahkan tertuduh didenda RM1,000 atau penjara satu bulan untuk tuduhan pertama kerana menyebabkan kecederaan Ang Kean Siang, 32, pada 30 Disember lepas pada 1.40 pagi.

Tertuduh juga didenda RM2,000 atau penjara dua bulan untuk tuduhan kedua kerana dengan niat telah menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM1,200.

Ah Chye didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi yang masih bebas, di hadapan kontena PPS di Lorong Perak ketika mangsa membuat liputan mengenai kejadian seorang wanita ditemui mati di pangsapuri di Jalan Perak di George Town.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara setahun, denda minimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara dua tahun, boleh didenda atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairul Fairoz manakala Ah Chye diwakili peguam Sukhindarpal Singh.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.