Mahkamah keluar sapina ke atas Zahid Hamidi

Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah mengeluarkan sapina kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya hadir ke mahkamah pada 6 Januari ini.

Portal berita Harakahdaily semalam melaporkan sapina tersebut dikeluarkan oleh mahkamah atas permohonan Datuk Husam Musa yang menyaman penulis blog Papa Gomo.

NONE"Mahkamah telah meluluskan permohonan saya untuk sapina Menteri Pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Ini kerana, Ahmad Zahid kenal siapa Papa Gomo ini apabila beliau membenarkan blogger ini memasuki kapal selam Scorpene sebelum ini," kata Husam kepada portal itu dipetik.

Laporan itu juga menyebut, Husam yang juga naib presiden PAS menyaman Papa Gomo ekoran satu laporan fitnah yang dibuat blogger tersebut melalui blognya.

Writ saman tersebut difailkan Husam melalui peguam Hisham Fauzi baru-baru ini dengan menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta, memohon maaf secara bertulis, gantirugi teladan, gantirugi melampau dan gantirugi punitif.

Selain itu injunksi menghalang defendan atau ejen atau pembantu berkomunikasi, memberi komen, mengulangi penerbitan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Defendan melalui blognya; http://www.papagomo.com bertajuk 'gambar ekslusif bakal MB Kelantan pimpin tangan China Doll' diterbit pada 6 Disember tahun lalu didakwa cuba mengaibkan Husam dengan menyiarkan gambar tersebut.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.